PELAJAR USM BERBAKTI DI ACHEH: MENGEJAR IBRAH TSUNAMI
Seramai 40 pelajar dan 7 pegawai pengiring mengadakan program Mengejar Ibrah Tsunami di Bumi Aceh selama empat hari bermula 10 September 2015, anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Jaya (MPDJ), Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan (MPDFH) dan Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) yang bernaung di bawah Sekretariat Lestari Alam Nusantara (SALINDRA) dengan Yang Dipertua MPDJ Mohamad Iddin Ikram Bin Mohd Aminuddin sebagai Pengarah Projek.
Menurut Penggawa Desasiswa Jaya, Profesor Madya Dr. Mohamad Hekarl Bin Uzir yang mengetuai projek tersebut, pelbagai iktibar dan pengajaran diperolehi oleh peserta sepanjang berada di Acheh.
“Lawatan ini bukan hanya lawatan akademik tetapi juga untuk memenuhi keperluan penduduk dan mendalami kejadian tragis yang menimpa penduduk Acheh pada 26 Disember 2004. Di samping beberapa program lain seperti Penanda Aras dan Lawatan Balas bersama empat penjuru universiti, Khidmat Komuniti di Pesantren Dar Maryam dan Transformasi Budaya bersama Wali Kota, Aceh Indonesia,” kata Mohamad Hekarl.
Program Penanda Aras bersama empat buah universiti merupakan program utama lawatan ini yang melibatkan Universiti Sains Malaysia, Universitas Syiah Kuala, Universitas Islam Negeri Arhraniry dan Universitas Ubudiyah Indonesia dipertemukan di meja persidangan dengan mengupas aspek pembangunan dan transformasi di universiti masing-masing.
“Kami juga mengambil peluang itu untuk mengucapkan penghargaan atas bantuan dan sokongan universiti-universiti di Acheh terhadap mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Acheh yang mengorbankan seorang pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Sumber Mineral, Muhamad Izzamir Nabihan A Majid,” kata Mohamad Hekarl lagi.
Tambahnya, program ini turut mendapat kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Indonesia Malaysia (PKPMI) terutamanya Yang Dipertuanya, Ustaz Amir Bin Ahmad Pohat.
“Lawatan ini adalah merupakan satu program yang amat baik kerana melibatkan seluruh komuniti yang memerlukan khidmat sedemikian malah Wali Kota Acheh turut berbangga dengan kehadiran pelajar USM pada malam Transformasi Budaya dengan persembahan Dikir Barat dan kami berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan,” kata Amir.
Para peserta juga turut membantu anak-anak yatim peninggalan Tsunami di Pesantren Dar Maryam termasuk sesi motivasi, gotong royong mengecat pondok aktiviti, pemasangan Lampu Solar LED dan kenduri rewang.
SUNTINGAN SEMULA DARIPADA TEKS ASAL: Ruziatun Amirah Ismail
- Created on .
- Hits: 1952