USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LEBIH RAMAI PAKAR OFTALMOLOGI DIPERLUKAN UNTUK MEMENUHI KEPERLUAN MASYARAKAT

IMG 4181

KUBANG KERIAN, 20 September 2015 – Kebanyakan rakyat Malaysia mengalami masalah penglihatan berpunca daripada katarak atau selaput mata, glaukoma, penyakit kencing manis dan juga faktor usia.

Walau bagaimanapun, katarak atau masalah selaput mata boleh menjadi punca utama seseorang individu kehilangan penglihatan.

Menurut Ketua Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Liza Sharmini Ahmad Tajuddin, pada masa kini 10% daripada populasi di Malaysia berumur 50 tahun ke atas berisiko mengidap katarak yang dijangka meningkat sehingga 30% menjelang tahun 2030.

“Setakat ini USM telah menghasilkan 102 orang siswazah oftalmologi yang masih belum mampu menampung keperluan pakar oftalmologi yang diperlukan mengikut nisbah kes yang ada dengan anggaran seramai 600 ribu orang pesakit memerlukan pembedahan katarak sedangkan kapasiti pembedahan yang dapat dilakukan adalah 60 hingga 80 ribu kes sahaja setahun dengan keperluan yang terus meningkat yang memerlukan lebih ramai pakar berkualiti dikeluarkan dalam bidang oftalmologi demi kesejahteraan masyarakat,” kata Liza Sharmini.

IMG 4171

Pakar Oftalmologi Hospital Selayang, Dr. Elias Hussein pula mengatakan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hanya 40,000 pembedahan kes katarak yang mampu dilakukan setahun mengikut keupayaan pakar yang ada.

Beliau yang ditemui selepas majlis perasmian Simposium Oftalmologi yang Ke-6 sempena Konferens Saintifik Bersepadu Universiti dan Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, turut menyatakan harapan agar lebih ramai pakar oftalmologi dapat dikeluarkan oleh universiti tempatan termasuk melalui kerjasama dengan KKM dalam memenuhi keperluan perawatan dan pencegahan penyakit berkaitan mata di Malaysia.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sakri



  • Created on .
  • Hits: 1282

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024