USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUAN RUMAH SIMPOSIUM OFTALMOLOGI KALI KE-6

IMG 4069

KUBANG KERIAN, 19 September 2015 – Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dipilih menjadi tuan rumah Simposium Oftalmologi kali ke-6 sempena Konferen Saintifik Bersepadu antara Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang disertai oleh kira-kira 350 orang pakar dan mereka yang terlibat dari seluruh negara.

Simposium yang bertemakan 'Kecederaan Mata, Cegah dan Tangani Komplikasi' memperlihatkan kolaborasi antara universiti tempatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terjalin sejak tahun 1983.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim, simposium ini mempertemukan dua pihak utama yang menggembleng tenaga dalam mempertingkatkan taraf penjagaan mata iaitu pakar mata dari universiti tempatan dan juga KKM.

IMG 4061

"Perkembangan perubatan oftalmologi di negara kita sangat membanggakan dengan jumlah pakar yang dihasilkan memberangsangkan dan kepakaran yang ada ini telah dimanfaatkan bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan telah dibawa ke negara luar seperti Myanmar dan Korea," kata Ahmad Sukari yang mewakili Naib Canselor USM merasmikan simposium tersebut.

Tambahnya, ini menunjukkan betapa pakar-pakar oftalmologi yang ada di negara ini mampu memberikan perkhidmatan yang baik dalam membantu aspek perawatan serta pencegahan perubatan mata yang cukup membimbangkan dewasa ini di samping menghasilkan penyelidikan yang dapat digunakan dalam perawatan.

Turut diadakan ialah bengkel pra-konferens pada 18 September dan diikuti simposium penuh selama dua hari pada 19 dan 20 September 2015.

IMG 4094

Pada simposium kali ini juga, Pakar Oftalmologi dari Hospital Selayang, Dr Elias Hussein dipilih sebagai Penerima Anugerah Mohamed Noor Marahakim bagi tahun 2015 - anugerah yang diberikan sempena nama Pakar Oftalmologi Allahyarham Mohamed Noor Marahakim bertujuan menghargai tokoh tempatan dalam sumbangan di bidang pendidikan dan latihan kepakaran oftalmologi di Malaysia.

Selain daripada itu, pembentangan oral dan poster oleh para peserta mengenai kajian terkini dalam bidang oftalmologi di Malaysia turut diadakan sepanjang simposium di samping penyertaan pameran oleh industri farmaseutikal berkaitan dengan kesihatan serta penjagaan mata.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sakri

  • Created on .
  • Hits: 1096

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024