KOLABORASI TEKNOLOGI DAN INOVASI AGENDA MASA HADAPAN HUBUNGAN DENGAN REPUBLIK CZECH DENGAN USM
PULAU PINANG, 19 September 2015 - Kejayaan dalam pelbagai bidang antaranya sains perubatan, fizik, sains komputer dan teknologi nano sejak lebih sedekad lalu banyak memberi kesan kepada industri dan teknologi pelbagai negara.
Timbalan Ketua Misi dari Pejabat Kedutaan Republik Czech di Malaysia, David Jarkulic ketika menyampaikan pembentangan dalam program USM 2nd Ambassadors Summit 2015 di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini mewakili Duta Republik Czech ke Malaysia H.E. Rudolf Hykl menekankan kepada hal ini.
Menurut David, Republik Czech mempunyai 26 universiti awam dan 44 universiti swasta yang memberi fokus utama pada bidang bioteknologi, perubatan, kimia organik, biokimia, teknologi Nano dan sains komputer (IT4Innovations) yang boleh dimanfaatkan oleh universiti-universiti di Malaysia.
"Hubungan antara Malaysia dengan Republik Czech telah lama terjalin termasuk melalui Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) serta bioteknologi di samping kerjasama di antara universiti ternama di Republik Czech dengan Malaysia seperti Charles University yang memberi fokus pada partikal dan nuklear fizik, matematik serta kimia organik dan University of Pardubice yang bekerjasama dalam bidang sains bahan, penjagaan kesihatan dan Nanoteknologi," katanya.
David mengharapkan agar usaha diperkasakan untuk melalui kolaborasi dengan USM dalam bidang seperti Nanoteknologi, teknologi kimia/biokimia dan perubatan.
"Antara misi kolaborasi yang telah mencapai kejayaan antara institusi pendidikan/penyelidikan di Republik Czech dan Insitusi Pengajian Tinggi di Malaysia adalah 2 universiti teknikal Czech dengan Multimedia University (MMU) pada tahun 2014/2015, 4 institut penyelidikan bioperubatan dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan International Medical University (IMU), dan kejayaan terbesar setakat ini adalah kerjasama antara 7 universiti peneraju di Czech dengan USM, UM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan 3 lagi institusi pengajian tinggi swasta," ulas David lagi.
Bidang penekanan utama teknologi dan inovasi yang diberi penekanan di Republik Czech adalah meliputi bidang tradisi pendidikan teknikal, kejuruteraan mekanikal berteknologi tinggi, automotif dan industri aeroangkasa termaju.
Sementara itu, moderator sesi ini, Pro Canselor USM yang juga diplomat Tan Sri Razali Ismail pula mengharapkan agar kemajuan yang ditunjukkan antara institusi di Republik Czech dapat dimanfaatkan oleh USM melalui kolaborasi dalam pelbagai bidang teknologi yang dinyatakan.
"Malaysia patut mencontohi usaha ini serta perlu memberi lebih banyak peruntukan dalam penyelidikan dan inovasi negara manakala anak-anak muda harus berkunjung dan melihat sendiri kecanggihan bidang teknologi di Republik Czech," tegas Razali lagi.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1105