USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CSIRF DEKATKAN KERJAYA BIDANG PENGKOMPUTERAN DENGAN BAKAL GRADUAN

PULAU PINANG, 18 September 2015 – Pameran Penrekrutan dan Kerjaya Sains Komputer 2015 atau Computer Science Internship and Recruitment Fair 2015 (CSIRF 2015) yang bermula hari ini sekali lagi menjadi medan bagi mendekatkan kerjaya dalam bidang pengkomputeran dengan pelajar sains komputer yang bakal berijazah nanti.

Berucap merasmikan program CSIRF 2015 ini di sini, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey menyeru pelajar Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSKomp) USM untuk meneroka peluang penempatan latihan industri (internship) dan juga peluang pekerjaan yang sedia ada di syarikat-syarikat kerajaan dan swasta yang terlibat secara langsung atau tidak dengan bidang pengkomputeran.

Ching Mey berkata, USM sentiasa komited untuk menghasilkan graduan yang berkualiti, holistik, dinamik, dapat menyesuaikan diri dengan dunia pekerjaan dengan mudah dan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi supaya dapat menembusi pasaran kerja dalam negara mahu pun antarabangsa yang semakin kompetitif.

“Bagi mereka yang menjalani latihan industri atau internship di syarikat-syarikat swasta mahu pun kerajaan, selain menimba pengalaman sebaik mungkin, mereka patut bijak menggunakan peluang yang ada untuk menonjolkan keupayaan dan bakat mereka kepada syarikat-syarikat tersebut yang mungkin menjadi bakal majikan mereka apabila mereka keluar bekerja,” katanya.

Dalam mengembangkan kerjaya pula, Ching Mey mengingatkan graduan supaya berfikiran terbuka dengan pembelajaran berterusan dalam bidang kerjaya dan membina jaringan hubungan dengan pihak profesional di luar dan dalam lingkungan kerjaya.

Beliau bangga dengan komitmen dan usaha yang dicurahkan PPSKomp untuk terus menganjurkan program CSIRF ini yang masuk tahun ketiga penganjurannya dan berharap ia akan menjadi model lestari yang boleh dicontohi oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) lain.

CSIRF kali ini berlangsung selama dua hari dan berjaya menarik penyertaan 14 syarikat industri, antaranya Altera Corporation (M) Sdn. Bhd., Continental Automotive Malaysia, Penang Seagate Industries (M) Sdn. Bhd., Huawei Technologies (M) Sdn. Bhd., Telekom Research & Development Sdn. Bhd., Vitrox Corporation Berhad, Hilti Asia IT Services (HAITS) Sdn. Bhd. dan sebagainya termasuk syarikat antarabangsa dari Singapura, Fourth Valley Concierge Corporation yang menyertai pameran ini buat kali pertamanya.

Seramai 147 pelajar tahun ketiga PPSKomp telah menjalani latihan industri dengan jayanya di 40 syarikat swasta dan kerajaan di seluruh Malaysia dari Februari sehingga Julai 2015 (enam bulan).

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan) PPSKomp, Profesor Madya Dr. Zurinahni Zainol berkata, program ini ternyata memberi peluang kepada pelajar PPSKomp khususnya pelajar tahun ketiga untuk meneroka peluang penempatan latihan industri (internship) di pelbagai syarikat swasta dan agensi kerajaan, juga membolehkan pelajar tahun keempat (akhir) mendapatkan maklumat tambahan dan terkini tentang peluang pekerjaan yang sedia ada di pasaran.

“Saya amat berharap pelajar yang mengunjungi pameran akan memanfaatkan sebaik-baiknya peluang ini dengan membina hubungan korporat dengan bakal majikan serta mendapatkan informasi mengenai peluang kerjaya supaya mereka dapat membuat persediaan dan pemilihan awal,” kata Zurinahni yang juga Pengerusi CSIRF 2015.

Dalam majlis yang sama, Ching Mey turut menyampaikan cenderahati dan sijil sebagai tanda penghargaan kepada pihak industri yang mengambil bahagian dalam pameran dan juga “Excellent Internship Award” kepada 25 pelajar yang menjalani latihan industri dengan cemerlang.

Yang hadir sama ialah Dekan PPSKomp, Profesor Ahamad Tajudin Khader, Timbalan-timbalan Dekan serta staf akademik dan pentadbiran PPSKomp.

Teks: Tan Ewe Hoe

Foto: Zamani Abd Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1493

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024