SELEBRITI JAYAKAN KEMPEN KESEDARAN KANSER
KUBANG KERIAN 19 September 2015 - Dari sebuah telemovie ke sebuah kempen besar dan bermakna, itulah permulaan kepada kempen Travelling Beruang anjuran TV3 dengan kerjasama Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).
Pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri Akasia: Teman Lelaki Upahan, Ungku Ismail Aziz pada mulanya ditawarkan memegang watak seorang ayah yang ingin menunaikan seorang impian kanak-kanak kanser dalam sebuah telefilem TV3. Namun kini ianya bukan sekadar telefilem tetapi bakal mengukir siri perjalanan penuh inspirasi.
Pertemuannya dengan adik Nur Hasmime Abdul Hamid (Mime) setelah menonton salah satu episod menerusi rancangan Bersamamu di portal Tonton ternyata membuka hati pelakon itu untuk membuat sesuatu yang lebih bermakna.
Menurut Ungku Ismail, Kempen Travelling Beruang bertujuan memberi kesedaran mengenai kanser dalam kalangan kanak-kanak dan secara tidak langsung mengutip dana untuk pesakit seperti adik Mimie serta ramai lagi kanak-kanak yang menghidapi penyakit kanser di Malaysia. Ini adalah kerana kos perubatan yang besar adalah di antara halangan buat keluarga terlibat untuk mendapatkan kos pembedahan atau perubatan buat anak-anak yang mengidap penyakit kanser.
"Ketabahan dan semangat juang untuk meneruskan kehidupan adik Mimie yang menjalani rawatan kanser hampir lima tahun di Hospital USM juga menyentuh hati dan saya mengucapkan terima kasih kepada warga kerja Hospital USM yang tidak jemu-jemu merawat adik Mimie hingga disahkan bebas daripada penyakit kanser," ujar Ungku Ismail.
Ketua Penolong Pengarah Unit Sokongan Klinikal Hospital USM, Dr. Tengku Mastura Tengku Mohamad berkata, warga Hospital USM yang merawat adik Mimie cukup tersentuh apabila Ungku Ismail Aziz yang pada mulanya diberikan watak dalam telefilem TV3 berjudul Travelling Beruang membuka hatinya dalam memulakan inisiatif ini.
"Niat ikhlas Ungku membuatkan pihak Hospital USM berasa bangga dengan penglibatan selebriti dalam menyokong survival pesakit kanser yang memerlukan sokongan untuk meneruskan rawatan sehingga mereka sembuh," ujarnya.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan
Foto: Wan Mohd Rasidi Wan Mahmood
- Created on .
- Hits: 1058