PELAJAR USM TERUS BANTU GELANDANGAN
PULAU PINANG, 19 September 2015 - Semangat kesukarelawanan pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan lagi dengan misi bantuan kepada gelandangan di sekitar Pulau Pinang hari ini.
Keunikan misi kali ini dapat dilihat menerusi penyertaan para sukarelawan dan pelajar dari Kampus Kesihatan USM yang datang dari jauh semata-mata untuk menyampaikan bantuan kepada gelandangan di Pulau Pinang.
Yang Dipertua (YDP) Kor Sukarelawan USM, Amirah Kamaliah Kamaruzaman berkata, kami bersama-sama rakan dari Kampus Kesihatan menyampaikannya kepada gelandangan yang menunjukkan bahawa jarak bukan penghalang untuk melunaskan niat murni ini kepada komuniti yang memerlukan.
"Barangan yang dibawa dari Kelantan berupa pakaian dan juga makanan, manakala perjalanan untuk misi kali ini melalui Padang Kota, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan diakhiri dengan lokasi sekitar Masjid Kapitan Keling," katanya.
Tambah Amirah lagi, Kor Sukarelawan USM akan terus memberi sokongan dan dorongan kepada misi sebegini kerana sebagai sebuah institusi yang menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan komuniti, usaha sebegini adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.
Seramai 90 orang pelajar dari Kampus Kesihatan USM dan 14 orang pelajar KOR Sukarelawan dari Kampus Induk USM terlibat dalam misi ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1038