ENGLISH LANGUAGE CAMP 2015 KUKUHKAN KEMAHIRAN KOMUNIKASI BAHASA INGGERIS PELAJAR
PULAU PINANG, 18 September 2015 – English Language Camp 2015 yang diadakan untuk pelajar sekolah menengah daerah Manjung, Perak pada tahun ini oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia (USM) adalah satu tanggungjawab berterusan kepada masyarakat.
Dekan PPIP yang merangkap Pengarah Projek Profesor Dato’ Dr. Abdul Rashid Mohamed berkata bahasa adalah salah satu unsur yang penting dalam pembelajaran abad ke-21 untuk berkomunikasi sama ada dalam bidang perniagaan mahu pun sosial.
Oleh itu, bagi memastikan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terutama di sekolah-sekolah, perkara ini haruslah menjadi satu kemestian dan bukannya satu pilihan.
“Baru-baru ini, USM melalui mahasiswa PPIP jurusan TESOL, telah mengadakan kerjasama dengan beberapa buah sekolah menengah di negeri Pulau Pinang dan telah berjaya menganjurkan pertandingan yang berasaskan kepada komponen sastera Bahasa Inggeris (KOMSAS) bertajuk “Penang English Literature Drama Showcase," kata Abdul Rashid.
Tambahnya, melalui inisiatif dengan komuniti seperti ini akan mengukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris agar mencapai taraf yang dihormati di dalam negara dan seterusnya memartabatkan kecemerlangan sistem pendidikan negara ini.
Berucap merasmikan program ini, Abdul Rashid menegaskan bahawa English Language Camp 2015 ini juga berupaya menggalakkan pembelajaran Bahasa Inggeris dengan cara yang menyeronokkan, ekspresif serta terbaik apatah lagi melalui sokongan banyak pihak menerusi perkongsian pintar yang dinamik.
Seramai 101 orang pelajar dari sekolah sekitar Manjung, 26 guru dan 5 orang sukarelawan terlibat secara langsung di dalam program selama 5 hari ini yang bermula dari 18 hingga 22 September 2015 di USM.
Program ini adalah usahasama di antara USM, Koridor Utara Malaysia, Tenaga Nasional Berhad Jana Manjung dan Pejabat Pendidikan Daerah Manjung.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1258