USM AKAN TAWAR PROGRAM SAINS WARISAN PERINGKAT ANTARABANGSA
PULAU PINANG, 18 September 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka menawarkan program Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Warisan yang menggabungkan disiplin seni dan pelbagai disiplin sains mulai sidang akademik 2016/2017.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr Omar Osman pada ketika ini USM telah menawarkan program minor dalam Sains Warisan yang merangkumi beberapa subjek seperti arkeologi, kajihayat, seni dan juga sastera.
"USM akan menandatanganan memorandum persefahaman dengan universiti luar negara yang menawarkan program yang serupa atau hampir dengan kursus yang ditawarkan serta mungkin akan menawarkan tempat untuk menjalankan penyelidikan atau latihan industri di luar negara," kata Omar.
Program tersebut adalah gabungan transdisiplin yang melibatkan satu ekosistem yang pelbagai dari sekurang-kurangnya lapan buah pusat pengajian atau pusat di USM yang mana diharapkan dapat menaikkan program transdisiplin tersebut ke tahap yang lebih tinggi.
"Kursus-kursus yang ditawarkan juga perlu diterapkan dengan elemen keusahawanan seperti mana yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan," tambah Omar.
"Bagi menjadikan program ini bertaraf antarabangsa, kursus-kursus yang akan dijalankan perlu dikendalikan dalam Bahasa Inggeris dan ini dapat juga menarik minat pelajar luar negara untuk ke USM bagi mendalami atau mengikuti pengajian Sains Warisan tersebut," katanya lagi ketika merasmikan Bengkel Kedua Sains Warisan yang mengumpulkan panel-panel dari agensi-agensi kerajaan seperti Arkib Negara Malaysia, Jabatan Muzium Malaysia dan Balai Seni Visual Negara.
Dekan Pusat Pengajian Seni Profesor Madya Mohamad Omar Bidin berkata idea ini timbul sekitar akhir tahun 2013 selari dengan visi USM dalam pembentukan program transdisiplin untuk kelestarian hari esok.
“Kini, penawaran kursus ini dalam proses pemantapan kurikulum sebelum dibentangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam serta Senat USM,” tambah Mohamad Omar.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Profesor Dato’ Dr Mohd Mokhtar Saidin warisan sedia ada di negara ini boleh tawarkan ijazah yang menarik ke peringkat dunia dengan penawaran kursus seperti warisan monumen, semulajadi, seni persembahan dan arkeologi.
“Melalui itu juga, proses pemeliharaan dan pemuliharaan warisan negara dapat dipertingkatkan,” tambah Mohd Mokhtar.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1756