PEMILIHAN MPP KAMPUS USM AMAN
PULAU PINANG, 18 September 2015 - Proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM kampus Universiti Sains Malaysia (USM) sidang akademik 2015/2016 berlangsung dalam keadaan aman dan lancar.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, keadaan adalah sangat terkawal dan statistik menunjukkan seramai 7,569 orang pelajar keluar membuat pemilihan iaitu sebanyak 62.37 peratus.
"Peratusan yang agak kurang ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor termasuk cuaca berjerebu dan juga kuliah yang dijalankan seperti biasa namun saya akan menggerakkan Jawatankuasa Pemantauan untuk mengkaji hal ini," tambah Adnan.
Calon Konstituensi Umum Mohd Fahmi Mohd Fadzli, pelajar tahun tiga dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan telah menerima undian terbanyak iaitu sebanyak 3,484 undian berbanding 10 calon yang lain.
"Saya tidak menyangka menerima undian yang begitu banyak namun bersyukur dan berharap dapat melaksanakan manifesto yang dijanjikan dan tidak membiarkan menjadi retorik semata-mata," kata Mohd Fahmi yang juga anak sulung daripada tiga orang adik beradik yang berasal dari Pendang, Kedah.
Anak penoreh getah dan juga pemandu lori ini bercita-cita tinggi untuk membawa jenama USM ke peringkat global dengan sokongan semua pihak.
Pada sidang kali ini, sebanyak 20 daripada 39 kerusi menang tanpa bertanding iaitu 6 di Kampus Kesihatan, 3 di Kampus Kejuruteraan, 10 di Kampus Induk dan satu kerusi baharu di kampus USM-KLE di Belgaum India.
Yang turut hadir semasa pengumuman rasmi dibuat adalah TNC (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, TNC (Penyelidikan dan inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan dan TNC (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr. See Ching Mey serta dekan-dekan dan wakil pusat pengajian.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1183