USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JOM SERTAI CAMPUS FUN RUN

PULAU PINANG, 15 September 2015 – Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) akan menganjurkan Campus Fun Run (Larian Ria Kampus) sempena majlis penutupan sambutan jubli perak 25 tahun penubuhannya.

Pensyarah PP Pengurusan yang merupakan Ketua Program, Ahmad Zainuddin Salleh berkata, Campus Fun Run USM tahun 2015 ini adalah medan untuk memberi input yang berguna kepada masyarakat berkaitan amalan budaya hidup cergas, minda yang sihat dan seterusnya menitikberatkan gaya hidup cemerlang dari aspek kelestarian.

"Objektif utama larian ini adalah untuk memberi kesedaran kepada umum akan kepentingan hidup secara sihat selari dengan arus pemodenan serta penerapan rutin harian yang lebih proaktif," tambahnya.

Menurut Ahmad Zainuddin lagi, sasaran program adalah untuk menggalakkan semangat cintakan sukan dan memelihara kesihatan bersempena sambutan Hari Bersukan Kebangsaan yang bertemakan "Humanizing Sustainable Excellence".

Campus Fun Run akan diadakan pada 10 Oktober 2015 pada jam 6:30 pagi hingga 9:00 pagi bermula di Stadium USM. Jarak larian adalah sejauh 5.5 kilometer dan penyertaan terbuka kepada pelajar USM dan bukan pelajar. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 24 September 2015. Hadiah cabutan bertuah menanti para peserta yang mengambil bahagian dan juga 200 medal serta sijil akan diberikan kepada semua peserta yang mengambil bahagian.

Untuk penyertaan, sila rujuk laman sesawang www.som.usm.my (Fun Run Form) untuk mendapatkan borang penyertaan ataupun boleh terus ke Kaunter PP Pengurusan. Bayaran untuk penyertaan sebanyak RM20 untuk pelajar dan RM30 bukan pelajar perlulah dibuat secara tunai di Kaunter PP Pengurusan sebelum atau pada tarikh tutup penyertaan. Kemeja T akan diberikan untuk setiap penyertaan.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1702

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024