PROSES PEMILIHAN PERWAKILAN PELAJAR USM 2015/2016 BERJALAN LANCAR
PULAU PINANG, 17 September 2015 – Majlis Pemilihan Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) sidang 2015/2016 yang bermula hari ini berjalan lancar apabila lebih 40% pelajar membuang undi sehingga tengah hari ini di pusat membuang undi sekitar Desasiswa dan Kompleks Cahaya Siswa USM.
Pusat membuang undi yang dibuka seawal 8.30 pagi menjadi tumpuan pelajar bagi memilih calon perwakilan pelajar masing-masing walau pun hujan lebat sejak awal pagi.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein berharap pelajar turun beramai-ramai untuk membuat pilihan pemimpin sebelum ditutup jam 5.00 petang hari ini.
”Walaupun cuaca tidak baik ia bukanlah penghalang untuk memilih calon kepimpinan pelajar kerana setiap Desasiswa yang diduduki telah disediakan Pusat membuang undi,”kata Adnan.
Timbalan Naib Canselor (HEPA) yang ditemui ketika melawat tempat membuang undi sekitar USM berkata, sehingga kini tidak ada laporan atau bantahan yang menganggu perjalanan pemilihan pelajar kali ini.
”Mereka telah melakukan kempen sebaik mungkin dengan ruang dan kemudahan yang universiti berikan bagi meraih undi, termasuklah menepati peraturan-peraturan yang telah ditetapkan” kata Adnan.
Pada pemilihan perwakilan pelajar kali ni, 46 kerusi dipertandingkan termasuk 1 kerusi baru Konstituensi Umum untuk calon pelajar jurusan Perubatan USM-KLE Belgaum India.
10 kerusi di Pusat Pengajian menang tanpa bertanding manakala di Kampus Kesihatan sebanyak 6 kerusi dan Kampus Kejuruteraan sebanyak 2 kerusi menang tanpa bertanding, menjadikan 18 kerusi disahkan menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.
Selain itu, kata Adnan sistem E-Undi dikekalkan seperti sebelum ini bagi mempercepatkan proses kiraan undi yang dianggarkan mengambil masa selama 3 jam sekiranya tiada bantahan atau gangguan sepanjang proses dilakukan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1104