USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RED BUBBLE RAI HARI LAHIR KANAK-KANAK KANSER

DSC 0816

KUBANG KERIAN, 16 September 2015 - Persatuan Penghibur Kanak-Kanak Buih Merah Kuala Lumpur dan Selangor atau dikenali sebagai Red Bubble telah menganjurkan sambutan hari lahir Muhammad Adam Nazri Zukri, 5, yang menerima rawatan di Wad 6 Utara (Ongkologi), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) baru-baru ini.

Kisah Muhammad Adam mendapat perhatian apabila dipaparkan di media sosial tentang keinginannya menyambut hari jadi apabila melihat keluarga pesakit kanak-kanak lain berbuat demikian dengan mendapat hadiah patung mainan siri televisyen yang diminatinya beberapa bulan lalu.

Majlis ini dimeriahkan dengan kehadiran tiga orang badut daripada Red Bubble untuk menceriakan kanak-kanak tersebut.

Menurut Pengerusi Red Bubble, Iskandar Syah Ismail, Red Bubble adalah pertubuhan amal yang ditubuhkan bagi menghibur pesakit kanak-kanak di hospital terutama yang menghidap penyakit serius dan kronik, melalui program lawatan badut hospital secara berkala.

DSC 0821

"Red Bubble kini melaksanakan aktiviti menghibur pesakit di wad kanak-kanak secara berkala di wad kanak-kanak kanser pesakit kanser seperti di Hospital USM ini yang kemeriahannya turut dirasai oleh 48 orang orang kanak-kanak lain yang  dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan aksi-aksi yang mencuit hati oleh badut yang hadir," ujarnya.

Iskandar berkata, program ini merupakan tanggungjawab sosial bagi memberi sedikit sinar bahagia untuk meringankan beban kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit kanak-kanak dan keluarga mereka.

Ibu kepada kanak-kanak tersebut, Yamilah Vado, 35, melahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Hospital USM kerana telah memberi peluang kepada anaknya meraikan ulang tahun yang ke-5 di hospital walau pun masih dalam rawatan.

"Ini merupakan kali pertama anak saya menyambut hari lahir secara besar-besaran kerana kami merupakan keluarga yang kurang berkemampuan untuk mengadakan majlis sebegini sebelum ini," katanya.

Teks : Roslida Mohamed

Foto : Anawiah Abdul Aziz​

  • Created on .
  • Hits: 706

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024