10 CALON LAYAK BERTANDING DI MAJLIS PEMILIHAN SISWA 2015/2016
NIBONG TEBAL, 16 September 2015 – Seramai 10 orang calon layak bertanding di Majlis Pemilihan Siswa (MPS) sesi 2015/2016 bagi kerusi Pusat Pengajian Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan dijalankan pada 17 September 2015 di lima pusat membuang undi.
Ketua Unit, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (HEPA), Nur Akmar Idris berkata proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar kali ini berlangsung serentak di ketiga-tiga kampus iaitu di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.
“Di Kampus Kejuruteraan sebanyak lapan kerusi akan dipertandingkan melibatkan satu kerusi umum dan tujuh kerusi Pusat Pengajian,” katanya.
Tambahnya lagi, “penamaan calon berlangsung pada 14 September 2015 lalu dan sebanyak 13 pencalonan telah diterima dan disemak serta layak bertanding selepas tamat masa bantahan”.
Bagaimanapun, menurut Nur Akmar, sehingga kini tiga kerusi telah dimenangi tanpa bertanding manakala lima kerusi lagi akan dipertandingkan dalam Majlis Pemilihan Siswa yang akan bermula esok di lima Pusat Pengajian yang terlibat.
Menurutnya lagi, dianggarkan seramai 2,253 pelajar sarjana muda tahun satu hingga empat yang berstatus aktif akan keluar membuang undi di lima Pusat Pengajian iaitu Kejuruteraan Mekanik, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Kejuruteraan Aeroangkasa dan Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral yang akan bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 5.00 petang.
Walau bagaimanapun, keputusan rasmi dijangka akan diumumkan oleh urusetia Majlis Pemilihan Siswa, Kampus Induk selepas tamat pengiraan undi yang akan dijalankan di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Sementara itu, Ketua Keutuhan, Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Hanafi Ismail turut hadir pada hari ini untuk memastikan peralatan dan perjalanan bagi pengiraan undi yang akan digunakan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.
“Saya sebagai ketua dan wakil Kampus Kejuruteraan perlu memastikan peralatan, sistem dan mesin e-voting yang akan digunakan semasa Majlis Pemilihan Siswa berada dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan semasa hari pengiraan undi dan tidak timbul sebarang masalah semasa pengiraan undi nanti,” katanya.
Tambahnya lagi, penggunaan mesin e-voting pada tahun ini dapat melancarkan pengiraan undi dengan lebih cepat dan kebaikannya dapat menjimatkan masa semua pihak.
Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral itu turut berharap perjalanan proses pemilihan pada kali ini dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah.
Yang turut hadir mendengar taklimat yang dijalankan secara tele-sidang oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey ialah Timbalan Dekan, Jaringan Industri & Masyarakat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad; Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Lee Keat Teong; Pegawai-Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (HEPA) dan urusetia serta pelajar.
Teks: Norafiza Osman
Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin
- Created on .
- Hits: 889