USM MEMARTABAT TEATER DI PULAU PINANG
PULAU PINANG, 16 September 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Seni dan Dewan Budaya memartabatkan persembahan teater di Pulau Pinang melalui pementasan teater Pocong Kampung Melayu dengan kerjasama Persatuan Teater Resdong baru-baru ini.
Teater karya artis komedi Maharaja Lawak Abu Musarrif Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Abu Mamu yang merupakan pementasan pertama persatuan pada tahun ini.
Pegawai Unit Pembangunan Teater, Penerbitan dan Jaringan Komuniti Dewan Budaya USM Ahmad Bin Hashim berkata, teater komedi ini merupakan satu gelombang kreatif untuk menyuntik era baru yang segar mendasari teater di Pulau Pinang melalui pementasan yang dibuat dua malam berturut-turut.
"Persembahan tersebut mendapat sambutan memberangsangkan dan tentunya ucapan tahniah perlu diberi kepada penulis dan pengarahnya yang membuka dan mengimbau sejarah Commedua Dell Arte di Itali, walaupun Abu Mamu bukanlah Carlo Goldoni atau Carlo Gozzi tetapi naskhah komedi fantasi ini wajar mendapat pengiktirafan lima bintang dengan kualitinya yang tinggi, babak improvisasi dan santai berisi," kata Ahmad.
Teater ini melibatkan keamanan Kampung Melayu yang mula tergugat apabila mereka dikejutkan dengan kehilangan jenazah arwah bapa Ramnah dan kehilangan ini membingungkan segenap penduduk kampung melayu yang belum pernah menerima kejadian sebelum ini dan keadaan bertambah buruk apabila kampung mereka mula diganggu dengan kehadiran makhluk halus yang dipanggil 'Pocong'.
"Pocong Kampung Melayu merupakan sebuah drama di antara kebenaran dan juga fantasi, teater ini ada kelainan daripada yang sebelumnya dan harapan saya adalah seluruh penduduk khususnya di Pulau Pinang terus memberi sokongan kepada persembahan teater pada masa akan datang dengan karya lain yang akan dibawa," kata Abu Mamu yang merupakan seorang alumni USM.
Artis Komedi, Mamak Raja Lawak pula berharap agar teater kali ini yang merupakan sebuah teater seram komedi akan menjadi satu fenomena dahsyat dan dapat mengangkat martabat seni teater di Pulau Pinang.
Auditorium Dewan Budaya USM dipenuhi dengan lautan para penonton selama 2 hari pementasan teater ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1163