USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TINGKATKAN KOLABORASI BERSAMA INSTITUSI PENDIDIKAN NIGERIA

PULAU PINANG, 15 September 2015 – Penekanan kepada keperluan perkongsian pengetahuan dan kepakaran di peringkat global dan kerjasama antara institusi pendidikan dan institusi rakan kongsi dari pelbagai negara perlu diwujudkan bagi memastikan kelangsungan masa hadapan yang lebih baik.

Demikian permintaan Kaunselor Bahagian Kebajikan Pendidikan dan Pelajar dari Nigeria, Adeniyi Oyemade yang mewakili Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Nigeria, Janet Bessong Odeka ketika menyampaikan ucapan sempena persidangan USM 2nd Ambassadors Summit 2015 baru-baru ini di Dewan Budaya USM.

Adeniyi berkata, USM dan universiti di Nigeria boleh bekerjasama dan memperhalusi bidang seperti pembangunan sosio-ekonomi, sains dan teknologi dan bagi merealisasikannya, beberapa peraturan dan syarat-syarat perlu dilihat semula. Antaranya, tahap pendidikan yang ditetapkan oleh universiti di Nigeria, No Objection Certificate dari kerajaan Nigeria dan keupayaan rakan institusi pendidikan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan pada tahap yang diperlukan.

“Terdapat juga kemungkinan besar program pertukaran pelajar untuk peringkat pasca siswazah dapat direalisasikan bergantung kepada jenis perkongsian yang diinginkan dan saya ingin mencadangkan bahawa program pertukaran kakitangan antara USM dan Nigeria juga dilaksanakan segera,” kata Adeniyi.

Tambah Adeniyi lagi, akan ada juga kerjasama untuk program pengajian berbilang (multiple) dan program pengajian bersama (joint) dalam memastikan kualiti penyelidikan terpelihara antara kedua-dua pihak serta beliau juga menegaskan bahawa dengan hanya menandatangani MoU sahaja tidak mencukupi, keperluan untuk membuat tindakan susulan perlu dilaksanakan dengan efektif dan efisyen agar impak dapat dicapai. MoU antara USM dan universiti-universiti dari negara Afrika perlu dipertingkatkan dari segi kuantiti kerana Malaysia dan Nigeria mempunyai banyak persamaan antaranya sebagai ahli Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Antara halangan yang timbul untuk mewujudkan hubungan kerjasama ini adalah persaingan antara institusi pendidikan, kedudukan (ranking) dan tahap eksklusif sesebuah institusi itu, namun pihak kedutaan Nigeria di Kuala Lumpur memberi jaminan akan memanjangkan setiap kerjasama yang mungkin dapat dicapai antara USM dan institusi di Nigeria kepada USM dari semasa ke semasa,” tegas Adeniyi.

Adeniyi turut memaklumkan mengenai penurunan pelajar dari Nigeria ke Malaysia disebabkan proses untuk mendapatkan VISA yang memerlukan masa dan rumit serta dasar untuk memperolehi VISA yang terbaru yang dikendalikan di bawah Education Malaysia Global Services (EMGS) perlu dilihat semula.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1034

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024