JEREBU: WARGA USM DINASIHATKAN MENGAMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA
PULAU PINANG, 15 September 2015 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi masalah jerebu yang melanda negara.
Pendaftar USM, Siti Zubaidah A. Hamid berkata, pihak USM prihatin dan akan memantau keadaan jerebu yang berlaku serta akan mengeluarkan arahan dan nasihat pada bila-bila masa untuk menghentikan penglibatan warga kampus daripada melakukan aktiviti-aktiviti luar yang boleh menjejaskan kesihatan.
"Hari ini, USM menubuhkan bilik gerakan jerebu yang berfungsi untuk menyelaras dan memberi maklumat kepada semua pelajar dan staf USM tentang keadaan jerebu dari semasa ke semasa dan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua jabatan USM supaya boleh dijadikan rujukan untuk memantau keadaan persekitaran," jelasnya yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bilik gerakan berkenaan di Pusat Sejahtera.
Siti Zubaidah meminta semua warga USM supaya sentiasa merujuk laman web Pusat Sejahtera USM dalam memantau keadaan jerebu sebelum melakukan aktviti luar.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr Normala Abdul Wahid menasihatkan supaya warga USM khususnya mereka yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung, pesakit jantung dan respiratori supaya seboleh mungkin berada di dalam bangunan dan mengurangkan aktiviti luar serta kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kepada jerebu.
"Jika ingin melakukan aktiviti luar, dinasihatkan menggunakan penutup hidung dan mulut terutama kepada yang berisiko tinggi apatah lagi dengan terdedah kepada jerebu ini mereka akan mengalami gejala seperti mudah batuk dan selsema selain sakit tekak dan iritasi kepada mata," kata Normala.
Beliau turut mengingatkan warga kampus jika mengalami simptom-simptom akibat jerebu ini supaya segera ke Pusat Sejahtera atau pusat kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.
Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Profesor Madya Dr Sundramoorthy A/L M Pathmanathan berkata, pihaknya akan membantu pengurusan Universiti dalam memantau keadaan terkini termasuk aktiviti-aktiviti luar .
"Apabila keadaan jerebu semakin meruncing, pihak Jabatan Keselamatan akan mengambil langkah dengan memberi nasihat kepada warga kampus supaya menghentikan semua aktiviti luar atau memindahkan aktiviti ke dalam bangunan supaya dapat mengurangkan risiko jerebu terhadap mereka," tambahnya.
Semalam Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni mengedarkan hampir 3,000 topeng muka kepada warga USM terutama pelajar, namun akan meneruskan aktiviti-aktiviti yang dirancang di dalam dewan serta mengambil langkah-langkah yang perlu apabila keadaan memerlukan tindakan sewajarnya.
Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar sehingga 11 pagi tadi, USM Pulau Pinang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 116 iaitu berada di tahap tidak sihat.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 932