PERSEDIAAN AWAL ALAM PERSARAAN PERLU
PULAU PINANG, 14 September 2015 – Persediaan awal untuk menghadapi alam persaraan perlu dilakukan oleh bakal pesara Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memudahkan mereka untuk menerima hakikat persaraan ini dengan baik dan meneruskan kehidupan selepas tamat perkhidmatan.
Pendaftar USM Siti Zubaidah A Hamid berkata, penjawat awam perlu merancang dengan baik persaraan semasa dalam perkhidmatan kerana akan memudahkan mereka pada masa akan datang.
"Adalah menjadi hasrat universiti untuk melihat staf yang sentiasa gembira dan sejahtera serta dapat melaksanakan tugas dalam persekitaran yang kondusif sekaligus meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dan produktiviti secara keseluruhannya,” kata Siti Zubaidah kepada kira-kira 200 orang bakal pesara USM yang menghadiri taklimat Program Pra- Persaraan tahun 2017 anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia USM di sini hari ini.
Pendaftar juga mengalu-alukan pesara USM untuk menggunakan kemudahan yang ada dalam universiti dengan harapan agar kesihatan mental dan fizikal berada di tahap yang baik.
Yang Dipertua Kelab Jasa Budi USM, Dato' Azman Abdullah turut mengalu-alukan bakal pesara USM menyertai kelab Jasa Budi USM yang ditubuhkan pada tahun 2003 yang memberi peluang kepada ahli terus menyumbang kepada universiti.
"Kelab Jasa Budi USM bergiat aktif dalam membantu hal-hal berkaitan dengan kebajikan dan kepentingan ahlinya seperti ceramah kesihatan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala di Pusat Sejahtera USM selain mengeratkan silaturrahim dalam kalangan ahli kelab melalui lawatan yang dianjurkan dari semasa ke semasa," Jelasnya.
Bakal pesara dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Mohd Noor Aziz 57 menyifatkan pengalamannya selama hampir 35 tahun berkhidmat dengan USM amat berharga.
“Terlalu banyak kenangan yang akan ditinggalkan di sini dan secara jujurnya saya amat berat hati untuk melangkah keluar dari menara ilmu tercinta ini,” katanya.
Mohd Noor yang akan menamatkan perkhidmatannya pada bulan Februari 2016 nanti berpesan kepada generasi muda yang ada sekarang supaya sentiasa bekerja keras dan tidak mengharapkan sesuatu kejayaan datang bergolek begitu sahaja.
“Amalan hormat-menghormati patut sentiasa ditanam di dalam setiap diri masing-masing, tanpa mengira pangkat mahupun usia supaya kerja-kerja seharian kita lebih mudah diselesaikan,” katanya yang masih belum memikirkan secara mendalam apa yang ingin dibuat nanti selain mengambil masa untuk berehat melayan anak cucu.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Mohamad Danial Shahri & Zamani Abd Rahim
- Created on .
- Hits: 1411