USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PENGGERAK HARI SUKARELAWAN IM4U

PULAU PINANG, 12 September 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menjadi penggerak utama bagi  program Sukarelawan Malaysia melalui inisiatif 1Malaysia 4 Youth (IM4U) peringkat Negeri Pulau Pinang.

Program yang memasuki tahun kedua ini berjaya mengumpulkan hampir 1,500 sukarelawan USM untuk menyertai aktiviti gotong-royong yang diadakan di kawasan Balik Pulau melibatkan enam buah kampung.

Timbalan Menteri Kesihatan Dato' Seri Hilmi Yahaya mengalu-alukan kedatangan sukarelawan USM ke kawasan Balik Pulau untuk  bersama-sama dengan masyarakat sekitar menjayakan program sukarelawan ini.

“Memandangkan kawasan Balik Pulau ini merupakan satu daerah luar bandar di negeri Pulau Pinang, kehijauannya perlu kekal tanpa diganggu oleh kepesatan pembangunan pesat dengan usaha menanam pokok ru di kawasan pantai Malindo sebagai  satu cara memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan anak muda kita,” kata Ahli Parlimen Balik Pulau itu.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein menyeru agar mahasiswa USM supaya menyuntik semangat kesukarelawanan dalam diri masing-masing supaya dapat menjadi pelajar yang sentiasa peka dan cakna kepada masyarakat sekitar.

“Kita tahu bahawa sukarelawan adalah satu entiti yang besar dan kita inginkan tenaga yang ada pada para pelajar disalurkan secara positif terhadap masyarakat dan inilah aspirasi negara yang ingin kita terapkan dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Tambah Adnan, mahasiswa USM bukan sahaja dapat berbakti malah merealisasikan keprihatinan pelajar terhadap kesejahteraan masyarakat serta meningkatkan semangat perpaduan apatah lagi kebanyakan pelajar yang terlibat dalam program ini merupakan pelajar yang baharu mendaftar diri di universiti yang seharusnya menggunakan peluang ini sebaik mungkin agar masyarakat setempat dapat merasakan kehadiran mahasiswa khususnya dari USM.

Peserta sukarelawan yang merupakan pelajar  Kerja Sosial dari Pusat Pengajian Kemasyarakatan USM, M. Nadzirul Mohd Zahari, 20, berharap kesempatan menyertai program sukarelawan ini dapat digunakan sebaiknya untuk berbakti kepada masyarakat selain dapat mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat.

"Memandangkan saya mengambil pengkhususan Kerja Sosial, program seumpama ini berkait rapat dengan pembelajaran saya dalam mendidik jiwa serta sifat kasih sayang dengan bantu membantu masyarakat setempat," kata M. Nadzirul.

Pelajar Pusat Pegajian Seni Nurul Aishah Dati, 20, pula berasa gembira kerana terpilih mengikuti program 'Volunteer Malaysia' yang pertama kali disertainya dan berharap dapat mengikuti program seumpama ini lagi di masa akan datang untuk memupuk semangat sukarelawan dalam dirinya.

Teks: Syuhada Abd Aziz​

Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1147

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024