PELAJAR IJAZAH TINGGI ADALAH DUTA USM – NC
PULAU PINANG, 14 September 2015 – Pelajar Ijazah Tinggi sama ada dari dalam atau luar negara boleh dipertanggungjawabkan sebagai duta Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memperkenalkan universiti dalam kalangan masyarakat setempat sama ada dalam tempoh pembelajaran atau selepas berijazah.
Demikian kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan kepada lebih 1,400 orang pelajar baharu di peringkat ijazah tinggi di Dewan Tunku Syed Putra, hari ini.
Tambah beliau, selain itu, pelajar harus menghasilkan penerbitan yang berkualiti tinggi bukan sahaja untuk universiti tetapi untuk kemajuan kerjaya pada masa hadapan.
“Hasilkan penerbitan dan jurnal yang berimpak tinggi sebagai indikator bahawa penerbitan/penyelidikan tersebut adalah sesuatu yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan dunia, dan jauhi plagiat,” tegas Omar.
USM menyediakan pelbagai kemudahan sama ada fizikal ataupun dari segi kewangan kepada pelajar termasuk USM Fellowship, Post Graduate Research Fund dan juga Graduate Fund yang mana boleh dipohon oleh setiap pelajar.
Bagi semester 1 sidang 2015/2016, seramai 1,450 pelajar baharu mendaftar dengan Institut Pengajian Siswazah (IPS) merangkumi 1,060 orang pelajar di Kampus Induk, 285 orang di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian Kelantan dan 105 orang pelajar di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal.
Dari jumlah tersebut, seramai 1,398 orang adalah warganegara Malaysia dan selebihnya adalah pelajar antarabangsa termasuk dari Indonesia, Iraq, Mauritius dan Bangladesh.
Sebelum itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal telah memperkenalkan pengurusan tertinggi Universiti yang terdiri daripada Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Bendahari serta ahli-ahli Senat universiti kepada calon ijazah tinggi USM.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1028