USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AMBASSADOR SUMMIT PERKASAKAN PENGANTARABANGSAAN

PULAU PINANG, 13 September 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) 2nd Ambassadors Summit 2015 yang bertemakan “Enhancing Global Collaborations” berusaha untuk memperkasakan usaha pengantarabangsaan dengan melibatsama pelbagai pihak terutamanya kedutaan negara luar di Malaysia dan kedutaan Malaysia di luar negara dengan menjadikan kolaborasi sebagai kunci utama kejayaannya pada masa hadapan.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam satu sidang media khas selepas berakhir Sesi Randau Meja Bulat “USM 2nd Ambassadors Summit 2015” di Dewan Persidangan Universiti (DPU) hari ini, penganjuran program selama dua hari tersebut berjaya membincangkan prospek dan profil pendidikan tinggi serta cadangan-cadangan USM dalam mempertingkatkan lagi penjenamaannya ke peringkat antarabangsa.

“USM 2nd Ambassadors Summit 2015 mengiktiraf program-program pengajian pendidikan tinggi serta menggembleng usaha dan mendapatkan kerjasama erat untuk mengukuhkan keupayaan membawa masuk lebih ramai pelajar antarabangsa yang berkualiti ke negara ini selain bergerak dengan lebih teratur dan berstrategik,” kata Omar.

Tambahnya lagi, dengan kehadiran ketiga-tiga Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Razali Ismail sebagai moderator yang juga mengupas isu-isu yang dibangkitkan itu secara tidak langsung menyumbang kepada usaha tersebut sekaligus membantu mengenalpasti kolaborasi baharu yang dapat memberi manfaat kepada para pensyarah dan pelajar.

“Program ini juga berjaya menerokai model kerjasama baharu dalam mendapatkan lebih ramai tenaga pakar dan kerjasama negara-negara melalui kedutaan-kedutaan yang terlibat, malah fokus USM 2nd Ambassadors Summit 2015 telah tercapai khususnya dalam aspek ini,” kata Omar lagi.

Katanya lagi, program ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan dengan memberi tumpuan kepada beberapa buah negara lain yang tidak menyertainya kali ini serta mengadakan program-program berterusan dengan pihak kedutaan untuk memastikan kesinambungan usaha ini di samping memastikan usaha pengukuhan dilakukan terhadap kolaborasi sedia ada di antara pelbagai pihak di USM dengan pelbagai institusi di luar negara serta mengenalpasti rakan strategik baharu di pelbagai negara untuk memperkasakan proses pengantarabangsaan.

Menurut Omar lagi, USM Ambassadors Summit yang diadakan sejak dua tahun lalu di atas kesedaran ingin mengukuhkan hubungan dengan wakil pelbagai negara sama ada dalam kalangan yang USM sudah mempunyai hubungan akrab mahu pun yang baharu dimulakan melalui pemetaan hubungan yang ada sehingga kini.

“Ini penting kerana kita memastikan yang kolaborasi akan menjadi kata kunci utama untuk kita terus berjaya pada masa hadapan sesuai dengan pendekatan USM sejak empat tahun kebelakangan ini dalam memperkasakan kolaborasi dengan pelbagai pihak serta pengukuhan libatsama yang berterusan untuk faedah semua pihak terutamanya dalam kalangan pemegang taruh pada masa hadapan,” kata Naib Canselor.

Jelasnya lagi, USM akan berusaha untuk meningkatkan penyebaran maklumat tentang perkembangan semasa universiti kepada semua pihak yang berkaitan sama ada kedutaan-kedutaan luar negara di Malaysia mahu pun kedutaan Malaysia di luar negara dan pelbagai institusi lain terutamanya secara maya untuk meningkatkan visibility USM dan mengukuhkan proses positioning USM di samping kebolehpasaran siswazah di peringkat global.

Yang turut hadir ialah duta-duta dan wakil kedutaan, Pro Canselor Tan Sri Razali Ismail, Pengarah Urusan Media Prima Dato’ Abdul Jalil Hamid, dekan-dekan dan pelajar antarabangsa.

Antara negara yang terlibat termasuk Perancis, Republic Czech, India, Bangladesh, Denmark, Nigeria, Pakistan, Palestin dan sebagainya.

Teks: Siti Naquiah Abdillah

Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 998

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024