USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERTINGKAT KERJASAMA GLOBAL

PULAU PINANG, 13 September 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mempertingkatkan kerjasama di peringkat global dengan memanfaatkan pertemuan bersama duta-duta asing di negara ini sebagai langkah untuk membangunkan dan memperkasakan kolaborasi sedia ada dan mendengar pandangan dari tetamu-tetamu khas yang mewakili pejabat kedutaan pelbagai negara itu untuk merealisasikan usaha mengukuhkan kolaborasi yang ada.

Demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan aluannya bersempena Universiti Sains Malaysia (USM) “2nd Ambassadors Summit 2015” yang bertemakan “Enhancing Global Collaborations” di Dewan Budaya, di sini, pagi tadi.

“Kita ingin memperkasakan kolaborasi sedia ada yang pada ketika ini menunjukkan bahawa USM mempunyai hubungan langsung sama ada melalui Perjanjian Persefahaman, Memorandum Persefahaman mahu pun hubungan akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar,” kata Omar.

Tambahnya lagi, USM bukan sahaja ingin agar para penyelidik dan ahli akademiknya berkolaborasi dalam bidang-bidang kekuatan sedia ada terutamanya rentas bidang ilmu, tetapi juga bidang-bidang baharu dan melalui program libatsama komuniti dalam konteks dunia sejagat.

Menurut Omar, setakat ini USM telah mempelopori beberapa rangkaian kerjasama global seperti Asia-Pacific University Community Engagement Network (APUCEN) yang kini bergiat aktif dalam pelbagai program libatsama komuniti dari Thailand dan Indonesia dalam rantau ASEAN membawa kepada Asia Pasifik dan negara-negara lain pada masa hadapan.

“Yang terbaharu misalnya APUCEN melalui rangkaian kerjasama telah mengadakan program bantuan kemanusiaan di Kathmandu Nepal bagi membantu mangsa gempa bumi serta bersama-sama universiti di Thailand mempelopori usaha menyediakan modified wheelchairs yang dibuat khas dengan kepakaran yang ada bersesuaian dengan keperluan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia,” kata Omar.

Jelasnya lagi, usaha ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan dalam konteks yang lebih luas melibatkan institusi pendidikan tinggi di semua negara dunia untuk berkembang dan menyediakan mekanisme untuk melahirkan para akademia, pelajar dan mereka yang berminat untuk melakukan khidmat sukarela melalui pembangunan ilmu, Sains dan Teknologi malah seni dan budaya.

“Seperti mana usaha kita dalam mempromosikan usaha pemindahan ilmu yang dipayungi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi melalui CAPS Pemindahan Ilmu yang melebarkan jaringan ilmuan dan masyarakat termasuk untuk mempromosikan teknologi hijau secara menyeluruh,” kata Naib Canselor.

Tegas Omar lagi, dalam isu-isu kemanusiaan sejagat misalnya usaha perlu dilakukan agar dapat meningkatkan kolaborasi ilmuan dan sukarelawan dalam membantu menghadapinya, termasuk dalam isu pelarian, isu krisis dan konflik kemanusiaan, isu bencana alam dan pelbagai lagi yang boleh kita bantu untuk saling bekerjasama dalam menghadapinya, malahan di USM misalnya terdapat Unit Penyelidikan Pendidikan Perdamaian yang boleh digemblengkan kepakarannya atau Kesukarelawanan Mahasiswa USM yang boleh dikembangkan sebagai satu aktiviti global.

“Melalui jaringan seperti ini, kita harapkan universiti dapat berkolaborasi dan bersama-sama dalam komuniti global untuk mewujudkan dunia yang lestari selaras dengan kedudukan USM sebagai sebuah universiti APEX Malaysia yang memberi tumpuan pada mentransformasi pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok dan sebagai sebuah ‘sustainability-led university’ yang diharapkan dapat menjadi ‘global player’ dalam isu-isu kelestarian sejagat,” katanya lagi.

Menurut Omar, duta dan wakil sesebuah negara tersebut turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kerjasama global dalam konteks USM itu sendiri dan bagaimana dapat sama-sama berkongsi pengalaman dalam menghadapi krisis dan bencana alam misalnya malahan dalam menggerakkan sumber-sumber dan bakat yang ada dalam membantu mangsa-mangsa krisis kemanusiaan dan bencana di mana sahaja pelosok dunia melalui saluran yang betul dan institusi-institusi yang diiktiraf dalam konteks pendidikan tinggi tanpa menjejaskan mana-mana usaha yang dilakukan oleh pihak lain.

“Bagaimana nantinya pejabat-pejabat kedutaan luar di negara ini dapat bersama-sama membantu USM dan pendidikan tinggi negara untuk berkolaborasi dengan berkesan yang dapat memberi faedah kepada kedua-dua pihak,” kata Omar.

Program USM 2nd Ambassadors Summit 2015 yang berlangsung tiga hari bermula 11 hingga 13 September 2015 itu bermula dengan majlis makan malam meraikan Duta dan wakil-wakil kedutaan yang terlibat diikuti dengan sesi pembentangan dan perkongsian idea serta diakhiri dengan sesi perbincangan meja bulat.

Sesi pembentangan dibuat oleh Duta atau wakil kedutaan yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi, pertukaran pelajar dan kolaborasi bersama USM untuk bersidang serta membincangkan peluang, pengetahuan, pengalaman dan amalan-amalan terbaik demi pembangunan bidang pendidikan tinggi negara.

Antara negara yang terlibat termasuk Perancis, Republic Czech, India, Bangladesh, Denmark, Nigeria, Pakistan, Palestin dan Indonesia.

Ia turut bertujuan memberi penekanan mendalam berhubung isu-isu membabitkan para pelajar asing yang mengikuti pengajian di sini, selain memberi pemahaman lebih jitu kepada setiap Duta berkenaan kelebihan dan kebajikan yang disediakan kepada pelajar luar negara.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa.

  • Created on .
  • Hits: 1301

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024