DUA PENSYARAH USM GONDOL ANUGERAH EMAS AHIN 2015
PULAU PINANG, September 2015 – Dua orang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menggondol anugerah emas di pertandingan Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN 2015) yang dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Profesor Dr. Rahmah Noordin dari Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) dengan rekacipta bertajuk “Filarial Parasite Polypeptides and Sequences, Gene Sequences and Uses Thereof” menerima anugerah emas bagi kategori Paten.
Mengulas lanjut, Rahmah berkata beliau gembira dan bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. di atas penganugerahan anugerah ini yang merupakan saat terindah dalam hidupnya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dan ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada USM atas segala peluang dan sokongan yang saya terima selama ini yang memungkinkan saya memenangi anugerah ini," kata Rahmah.
Manakala “BAL EX” hasil penyelidikan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Dr. Zuraida Zainun turut menggondol anugerah emas bagi kategori Cap Dagangan dan Petunjuk Geografi.
Masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10 ribu dan trofi.
Menurut Zuraida yang juga Pakar Keseimbangan Badan, Klinik Telinga, Tekak dan Hidung Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), anugerah tersebut merupakan ke-34 diraihnya melalui pelbagai jenis produk “BAL EX” yang terdiri daripada BAL EX: Home-based Video Module For Balance Rehabilitation; BAL EX STROKE: Home-based Module For Stroke Rehabilitation; BAL EX: ZURAIDA-SHAH ROTATORY CHAIR; BAL EX WHEEL SAVER; BAL EX STAND UP: Manual Footplate For Balance Rehabilitation; BAL EX VIRTUAL ROOM; BAL EX FOOT: Shoes For Stroke Patient dan BAL EX PHYSIO: Home-based Physiotherapy For Stroke Rehabilitation.
“Alhamdulillah dan syukur dengan kemenangan ini, malahan tidak dilupakan juga bantuan pihak Pejabat Inovasi dan Pengkomersilan (ICO) USM khususnya Profesor Dr. Rahmat Awang yang sangat membantu sepanjang pertandingan tersebut berlangsung," kata Zuraida.
Beliau berharap agar produk-produk tersebut dapat dikomersialkan untuk memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti setempat, malahan membantu mereka yang memerlukan dengan produk-produk BAL EX yang telah mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah.
“Saya juga amat berterima kasih kepada pihak ICO, malahan sehingga kini tiga produk BAL EX telah mendapat perhatian untuk dipromosikan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Majlis Anugerah Harta Intelek Negara merupakan acara tahunan yang diadakan bersempena Hari Harta Intelek Negara 2015 dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak.
Teks: Syuhada Abd. Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Ehsan dari Puan Nurulakmal Nawawi, Pejabat Inovasi dan Pengkomersilan USM (ICO)
- Created on .
- Hits: 1830