USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM 2nd AMBASSADOR SUMMIT 2015 PERKASA RANGKAIAN STRATEGIK ANTARABANGSA

banner digital 3c

PULAU PINANG, 11 Sept. 2015 - Penganjuran diskusi pintar dengan penglibatan Duta-duta asing di negara ini dalam Universiti Sains Malaysia (USM) 2nd Ambassadors Summit 2015 disifatkan sebagai satu inisiatif yang dapat memperkasa hubungan strategik antara negara khususnya yang melibatkan bidang pendidikan tinggi.

Program USM 2nd Ambassadors Summit 2015 yang berlangsung tiga hari (11-13 Sept.2015) itu akan bermula dengan majlis makan malam meraikan Duta dan wakil-wakil kedutaan yang terlibat diikuti dengan sesi pembentangan dan perkongsian idea serta diakhiri dengan sesi perbincangan meja bulat.

Sesi pembentangan akan dilakukan oleh Duta atau wakil kedutaan yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi, pertukaran pelajar dan kolaborasi bersama USM untuk bersidang serta membincangkan peluang, pengetahuan, pengalaman dan amalan-amalan terbaik demi pembangunan bidang pendidikan tinggi negara.

Antara negara yang terlibat termasuk Perancis, Republic Czech, India, Bangladesh, Denmark, Nigeria, Pakistan, Palestin dan sebagainya.

Naib Canselor USM, Profersor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, hubungan dua hala di antara negara melalui campur tangan pihak kedutaan dan kerjasama strategik di antara negara-negara dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam mempercepatkan agenda kolaborasi global termasuk juga dalam hal ehwal akademik, penyelidikan dan inovasi.

Katanya, pertemuan kali kedua diadakan ini akan memperkukuhkan serta memperkasakan hubungan sedia ada, selain menyediakan satu platform perbincangan khusus dalam melihat pelbagai isu semasa dan penambahbaikan sistem sedia ada yang melibatkan hubungan luar.

``Kita mengharapkan bahawa kerjasama dan perhubungan antara universiti dapat dipertingkatkan apabila hubungan dua hala antara negara melalui kedutaan atau pesuruhjaya tinggi dapat dilestarikan dan diperkukuh dari masa ke semasa.

``Ia dapat memberi satu perspektif lebih dinamik kerana pihak kedutaan dan pesuruhjaya tinggi dapat menyalurkan maklumat yang tepat, serta nasihat dalam menentukan yang mana betul atau tidak dalam kerjasama melibatkan aspek penyelidikan dan akademik,’’ ujar beliau.

Tambah Omar, usaha ini juga memperlihatkan bagaimana USM komited dalam memacu pengajian tinggi negara dengan mendapat kerjasama (kedutaan dan pesuruhjaya tinggi asing di Malaysia) untuk melicinkan pelbagai urusan yang melibatkan urusan diplomasi dan sebagainya.

Sementara itu, 2nd USM Ambassadors Summit 2015 yang bertemakan Enhancing Global Collaborations juga menterjemahkan dan memperincikan peranan, matlamat dan hala tuju USM sebagai satu-satunya universiti di negara ini yang terpilih menjayakan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).

Ia turut bertujuan memberi penekanan mendalam berhubung isu-isu membabitkan para pelajar asing yang mengikuti pengajian di sini, selain memberi pemahaman lebih jitu kepada setiap Duta berkenaan kelebihan dan kebajikan yang disediakan kepada pelajar luar negara. Teks: Marziana Mohamed Alias 

  • Created on .
  • Hits: 1100

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024