USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TS AZMAN HASHIM TERUJA KEMAJUAN PUSAT SUKAN USM

 DSC3986m

PULAU PINANG, 10 September 2015 – Pengasas dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim sangat teruja dan berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan Azman Hashim yang hampir 90% siap ketika mengadakan lawatan singkat di sini petang tadi.

Tokoh korporat tersebut yang terkenal dengan pelbagai sumbangan projek kebajikan dan pendidikan berkata, beliau gembira dapat menyumbang kepada pembangunan gedung ilmu dan berharap dengan adanya arena sukan tersebut dapat meningkatkan lagi kecintaan masyarakat kepada aktiviti sukan dan riadah.

 DSC4060df

“Harapan saya ialah agar apabila siap kelak, pusat ini akan menjadi satu lagi mercu tanda hubungan akrab di antara Universiti dengan komuniti, sekaligus membantu Universiti Sains Malaysia (USM) merealisasikan usaha ke arah kelestarian kewangan,’’ katanya.

Tambah Azman lagi, pulangan yang bakal diperoleh melalui kemudahan yang ditawarkan di arena tersebut juga diharap dapat membantu dalam memberi manfaat kepada hal ehwal dan kebajikan pelajar serta universiti.

"Saya juga berharap agar kompleks ini berupaya menyediakan kemudahan yang melahirkan ahli-ahli sukan ternama nanti," kata Azman.

 DSC4044gfj

 DSC4031fgj

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM Haji Muhamad Mohd Hanif yang memberi taklimat kepada Azman berkata, tokoh korporat tersebut telah menyumbang dana sebanyak kira-kira RM10 juta untuk pembinaan arena sukan itu melalui Yayasan Azman Hashim.

“Tentunya kita amat gembira dan terhutang budi dengan kemurahan hati beliau dalam menyumbang kepada penambahan fasiliti sukan dalam USM yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga kampus tetapi juga masyarakat sekitar,” kata Muhamad.

Fasiliti lain yang turut disediakan adalah Pusat Sehenti AmBank@USM, gimnasium, pusat latihan sukan, dan arena perasmian yang boleh memuatkan 500 orang pada satu-satu masa.

 DSC4155gn

Yang hadir sama semasa lawatan singkat ini ialah Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur; Pemangku Naib Canselor USM yang juga Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; dan Pemangku Bendahari USM Dr. Rohayati Mohd. Isa.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa.

  • Created on .
  • Hits: 1928

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024