KENALI GEJALA AWAL LEUKEMIA AKUT DALAM KALANGAN KANAK-KANAK
KUBANG KERIAN, 10 September 2015 - Leukemia akut merupakan penyakit kanser darah putih yang dihidap oleh kanak-kanak. Tanda-tanda penyakit ini yang boleh kenalpasti adalah seperti sering demam berpanjangan diiringi keletihan, pucat dan tidak cergas. Selain itu, ada juga kanak-kanak yang mengadu sakit kaki atau sendi hingga ada di antara mereka yang tidak mahu berjalan.
Demikian kata Pensyarah Kanan, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Norsarwany Mohamad ketika ditemubual dalam rancangan bersama radio tempatan pagi tadi.
Menurut Norsarwany, jika terdapat tanda-tanda sedemikian, ibu bapa perlu segera membawa anak mereka menjalani pemeriksaan fizikal di hospital bagi mendapatkan pengesahan.
"Masyarakat perlu faham apa itu penyakit leukemia dan mengambil langkah intervensi lebih awal dengan datang segera ke hospital dari hanya menunggu lama dan datang ke hospital setelah keadaan menjadi teruk," kata Norsarwany.
Jelasnya, sebagai seorang doktor dan pendidik, hal ini perlu difahami oleh pesakit, para pelajar malah juga masyarakat umum.
Tambah Norsarwany, setelah menjalani pemeriksaan, jika terdapat bengkak pada kelenjar di bawah leher, bawah ketiak dan celah kelangkang, ini memungkinkan kanak-kanak tersebut mengidap leukemia akut, selain perut mereka menjadi buncit disebabkan oleh organ hati dan limpa telah membesar.
"Ujian darah perlu dilakukan dan sekiranya sel darah putih melebihi sel darah merah, ia merupakan petanda kepada penyakit ini dan seterusnya bagi memuktamadkan keputusan, pesakit perlu menjalani ujian Bone Marrow Aspiration atau pengambilan air tulang belakang yang hasil ujian ini dapat mengenalpasti jenis sel kanser yang dihidapi untuk membolehkan kita tahu bahawa ianya adalah penyakit kanser darah putih," ujarnya lagi.
Norsarwany menegaskan bahawa penyakit ini tidak mengenal usia, dari lahir hinggalah lanjut usia mempunyai risiko mengidap penyakit ini.
Penyakit leukemia akut dalam kalangan kanak-kanak mempunyai prognosis yang baik iaitu mempunyai harapan yang tinggi melalui perawatan kimoterapi dengan kemungkinan pesakit boleh pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Teks: Mohd Hafiz Yaacob/Foto: Mohd Sabri Hj. Saleh
- Created on .
- Hits: 1477