KOLABORASI CEMACS DENGAN PELBAGAI AGENSI PERKASA PENYELIDIKAN DAN PEMINDAHAN TEKNOLOGI
PULAU PINANG, 9 September 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan pelbagai kolaborasi dengan pusat penyelidikan dan ahli akademik terkemuka dunia mampu memperkasakan bidang biodiversiti melalui kerjasama penyelidikan dan pemindahan teknologi.
Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM, Profesor Madya Dr. Shahrul Anuar Mohd Sah yang juga Pengerusi ‘4th International Workshop on Tropical Biodiversity and Conservation 2015’ berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kolaborasi yang ada melalui bengkel seperti ini yang merupakan sebahagian daripada projek lima tahun hasil Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani kira-kira tiga tahun lalu.
USM adalah tuan rumah keempat penganjuran bengkel ini selepas diadakan di Manaus Brazil, Bangalore India dan Arusha Tanzania.
Katanya, bengkel ini juga adalah landasan terbaik untuk ahli akademik dan para penyelidik berkongsi hasil-hasil penyelidikan dan meningkatkan kolaborasi pintar bagi mengenalpasti penyelidikan-penyelidikan baharu yang berpotensi diketengahkan untuk manfaat di peringkat global.
“Pelbagai penyelidikan dan ilmu baharu membuka kepada jaringan antarabangsa yang lebih erat bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada ahli akademik malahan para pelajar di peringkat pasca siswazah,” katanya lagi.
Menurut Shahrul Anuar, Wildlife Research Center of Kyoto University (WRC) Jepun turut memainkan peranan penting dalam penganjuran bengkel ini di samping menaja empat orang pelajar pasca siswazah USM menjalankan kajian di Pulau Yakushima, Jepun baru-baru ini yang diiktiraf sebagai salah sebuah pulau di bawah United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).
“Pihak Kyoto University turut menaja empat orang pelajar pasca siswazah USM yang terdiri daripada pelajar Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) bersama-sama beberapa lagi pelajar dari Brazil, Tanzania dan India selama enam minggu untuk mengkaji perlakuan rusa, kera Jepun dan sebagainya di Pulau Yakushima, dan membentangkan hasil kajian tersebut,” katanya lagi.
Pengarah WRC Jepun Profesor Dr. Shiro Kohshima yang hadir sama dalam bengkel tersebut berkata, bengkel ini mampu membangunkan kajian untuk melihat kepentingan maklumat biodiversiti dan memahami perkembangannya secara bersama, selain turut bermatlamat membangunkan kapasiti kepakaran sumber manusia dalam bidang biodiversiti.
“Saya berharap bengkel ini mampu diteruskan pada masa hadapan dan menjadi satu bengkel yang memberi sumber inspirasi kepada semua peserta lebih-lebih lagi para penyelidik muda untuk meneruskan kajian yang bermatlamat mengkaji ekologi dan perlakuan binatang,” kataya lagi.
Menurut Shiro Kohshima lagi, Malaysia umumnya sangat menarik dan mempunyai kepelbagaian biologi yang menjanjikan sumber penyelidikan menarik kepada para saintis, selain melihat potensi sains genom terhadap biodiversiti yang sangat penting untuk evolusi tersebut.
“Semoga peluang yang diperolehi semasa bengkel ini akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk membantu para pelajar pasca siswazah muda ini membina rangkaian perhubungan antarabangsa,” tambahnya lagi.
Pensyarah National Institute of Amazonian Research (INPA), Profesor Dr. Vera Da Silva berkata, bengkel yang mengumpulkan para peserta dari lima buah negara yang berbeza ini mampu mengupas dan memperluas kolaborasi sedia ada.
“Saya berharap pelbagai pihak dapat menjadikan bengkel ini sebagai saluran terbaik membina jalinan sejajar dengan matlamat yang diinginkan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pensyarah Centre For Ecological Sciences, Indian Institute of Science Bangalore, Profesor Dr. Raman Sukumar berkata, sebagai pensyarah dia memerlukan pelbagai ilmu pengetahuan yang merentasi benua justeru bengkel ini merupakan program yang tepat selain memberi pendedahan kepadanya untuk berkongsi maklumat dengan pelajar di universitinya.
Katanya lagi, untuk memelihara habitat kehidupan binatang umumnya bermula dari sikap manusia itu sendiri, namun Malaysia masih lagi mengekalkan sumber-sumber hutan dan habitatnya yang masih terpelihara selain mahukan agar program seumpama ini diperluaskan skopnya.
Bengkel yang bertemakan “Advanced Multidisciplinary and Trans-Continental Research for Global Conservation ini mengumpulkan 46 orang peserta masing-masing seorang peserta dari India, Brazil, Tanzania, 20 orang peserta dari Jepun, dan 23 orang dari Malaysia.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari bermula semalam ini dianjurkan oleh CEMACS dan Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) dengan kerjasama penuh Wildlife Research Center of Kyoto University (WRC) Jepun selain beberapa buah organisasi lain termasuk National Institute of Amazonian Research (INPA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kyoto University.
CEMACS ditubuhkan pada bulan Ogos 1991 bermula sebagai Stesen Kajian Lapangan Pusat Pengajian Sains Kajihayat pada tahun 1976 menjalankan pelbagai penyelidikan dan latihan pascasiswazah dalam bidang Marikultur, Ekosistem Bakau, Pencemaran Pantai dan Toksikologi, Pemuliharaan Kepelbagaian Bio (Biodiversity Conservation), Sains Samudera, Pengurusan Bersepadu Zon Pantai dan Ekosistem Batu Karang (Coral Reefs Ecosystem).
Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1201