USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC USM CADANG BINA METODOLOGI KAJIAN ISLAMI – TURUT PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN UNIVERSITI INDONESIA

11959971 10207531461429044 1630987082884300097 n

JEMBER, INDONESIA, 9 September 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menggesa agar satu metodologi penelitian Islami perlu dibina segera untuk keluar daripada menggunakan metodologi biasa yang tidak mengambil kira kepentingan agama terutamanya dalam konteks umat Islam.

Bercakap ketika membentangkan ucap utama bertajuk ‘Kenapa Metodologi Penelitian Islam’ di Konferens Internasional Pembangunan Islami Kedua (KIPI-2) anjuran Universitas Jember Indonesia dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM di sini beliau berkata, daripada pemerhatian kasar setakat ini, para penyelidik sering menggunakan metodologi penelitian konvensional terutamanya dari dalam kalangan bukan Islam yang mudah difahami namun apabila mereka dari dalam kalangan pengajian Islam pun menggunakan metodologi yang sama, hal ini kelihatan agak menghairankan.

10686878 10207531460269015 4680096428680285102 n

“Ini membawa kepada dua persoalan iaitu bolehkah penelitian tentang Islam dan orang-orang Islam dilakukan dengan menggunakan metodologi penelitian konvensional?, dan yang kedua, apakah tidak ada satu bentuk metodologi penelitian Islami yang tersendiri sedangkan terdapat cukup ramai para cendekiawan Islam terdahulu yang membuat penelitian dan menghasilkan pelbagai penulisan?” soal Omar kepada kira-kira 100 peserta yang hadir.

Sebanyak 31 kertas kerja dibentangkan dalam konferens tiga hari yang berlangsung di Kampus Universitas Jember tersebut.

Beliau berpendapat, sudah sampai masanya para cendekiawan Islam meneliti tentang dua persoalan ini dan menghasilkan metodologi penelitian Islami yang tersendiri untuk meneliti terutamanya tentang Islam dan orang-orang Islam, apatah lagi setelah berlaku 3 peristiwa besar yang memberi kesan langsung kepada umat Islam sejagat iaitu Revolusi Iran pada tahun 1979; kedua, peristiwa pengeboman World Trade Centre di New York pada 2001 dan peristiwa Arab Spring bermula pada tahun 2010.

“Ketiga-tiga peristiwa ini secara langsung atau tidak langsung telah menarik perhatian peneliti daripada pelbagai bidang, sama ada daripada bidang pengajian Islam sendiri atau daripada bidang-bidang lain yang bukan Islam dengan peneliti-peneliti daripada bidang pengajian Islam mula mengalih tumpuan daripada hanya menumpukan kepada pengajian Islam tulen seperti Usuluddin, Fiqh dan Tasauf kepada penelitian-penelitian yang lebih berbentuk empirikal dengan slogan ‘membumikan pengajian Islam’ dengan menghubungkan bidang-bidang pengajian Islam tersebut dengan realiti Islam dan umat Islam semasa yang sesetengahnya meletakkan perkataan “kontemporari” kepada nama fakulti pengajian Islam dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari,” kata Omar.

Tambahnya, peneliti-peneliti dalam bidang bukan pengajian Islam pula, sama ada daripada aliran sains atau sastera, cuba melakukan penelitian tentang Islam dan orang-orang Islam daripada perspektif bidang-bidang pengkhususan masing-masing hingga lahir misalnya bidang-bidang seperti pembangunan berteraskan Islam, ekonomi Islam, politik Islam, ekonomi politik Islam, psikologi Islam, sosiologi Islam, sains Islam, undang-undang Islam, dan sebagainya.

“Persoalannya, dalam membuat penelitian-penelitian tentang Islam dan orang-orang Islam ini, metodologi penelitian apakah yang peneliti-peneliti ini pakai?” kata Omar lagi.

11990616 10207531460069010 645701026943100746 n

Bagi beliau, terdapat beberapa hal yang tidak munasabah berlaku dalam meneliti tentang Islam dan orang-orang Islam dengan menggunakan metodologi penelitian konvensional yang tidak Islami dengan pandangan alam – ‘worldview’ atau dalam Bahasa Arab tasawur dan epistemologi yang berbeza daripada pandangan alam metodologi penelitian konvensional berkisar kepada hal-ehwal ‘tangible’ iaitu fizikal dan material serta berkisar kepada keupayaan aqal dan dalil-dalil aqli saintifik manakala epistemologi metodologi penelitian Islami berkisar kepada kedua-dua hal-ehwal ‘tangible’ dan ‘intangible’ fizikal, material dan spiritual melibatkan keupayaan aqal dan dalil-dalil aqli serta wahyu dan dalil-dalil naqli - saintifik dan metafizik.

“Adalah tidak munasabah melakukan penelitian ke atas Islam dan orang-orang Islam yang mempunyai pandangan alam dan epistemologi tersendiri dilakukan dengan satu metodologi penelitian yang berbeza pandangan alam dan epistemologinya yang jika dilakukan juga, sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan peneliti sekarang, dapatannya pasti sekali tidak akan tepat, apatah lagi melihat kepada rumusan yang dibuat daripada dapatan dan metodologi penelitian yang tidak tepat itu,” kata Naib Canselor USM itu lagi.

Beliau berharap agar usaha ‘Mencari Metodologi Penelitian Islami’ yang dijadikan tema Konferens Internasional Pembangunan Islam Kedua (KIPI-2) pada tahun ini berupaya membina metodologi penelitian Islami bagi memastikan penggunaan metodologi konvensional yang dikatakan boleh memberi kesan kepada aqidah umat Islam itu dapat dibendung segera.

Naib Canselor USM berada di Jember Indonesia sejak semalam, telah menandatangani memorandum kerjasama (MoA) dengan Universitas Jember untuk mengukuhkan kerjasama akademik dan penyelidikan yang diharapkan dapat diperluaskan dalam penawaran program pengajian bersama dalam beberapa disiplin pengajian termasuk Pembangunan Sains Islam, Kejuruteraan dan Persekitaran melalui hubungan yang telah bermula sejak tahun 2012.

Pada hari ini juga, Omar mengadakan perjumpaan dengan pengurusan tertinggi Universitas Jember termasuk Timbalan-timbalan Naib Canselornya dengan berfokus kepada pelbagai isu termasuk autonomi universiti, persaingan, ekonomi pengetahuan dan globalisasi dan kesan ledakan teknologi terhadap universiti pada masa hadapan.

Pada malamnya beliau mengadakan perjumpaan dengan pengurusan Universitas Muhammadiyah Jember yang dihadiri oleh Rektornya Dr. Eminullah Elhady. Universiti yang ditubuhkan pada tahun 1981 di bawah milik persyarikatan Muhammadiyah itu mempunyai 42 universiti seluruh Indonesia.

“Kita berharap untuk mengukuhkan kolaborasi dengan universiti ini termasuk dalam penawaran program akademik mahu pun pengajian ijazah tinggi pada masa hadapan,” kata Omar.

Teks: Mohamad bin Abdullah/Foto: Prof. Dato’ Dr. Omar Osman & Mohd Shafiq Abdul Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1270

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024