USM JALIN KERJASAMA AKADEMIK, PENYELIDIKAN DAN LIBATSAMA KOMUNITI DENGAN UNIVERSITAS JEMBER
JEMBER, SURABAYA (INDONESIA), 8 September 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menandatangani Memòrandum Kerjasama (MoA) dengan Universitas Jember di sini untuk mengukuhkan kerjasama akademik serta penyelidikan dalam bidang Pembangunan Sains Islam serta penganjuran konferens di samping mengadakan libatsama komuniti dan pertukaran pensyarah pada masa hadapan.
Menurut Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman, kerjasama ini dibuat melalui Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) dalam program yang telah dimulakan sejak tahun 2012.
"Kita berharap dapat menawarkan program pengajian bersama dengan Universitas Jember seperti Sains Persekitaran dan Kejuruteraan di samping bidang Sains Sosial yang dilakukan sekarang ini," kata Omar.
Tambahnya lagi, kita juga bersetuju untuk menambahkan lebih ramai kakitangan dan pelajar dari kedua-dua universiti untuk turut serta dalam program libatsama komuniti di sini.
Sementara itu, Rektor Universitas Jember Dr. Mohamad Hassan berkata, USM menjadi pendorong untuk pihaknya lebih maju dalam usaha penyelidikan.
"Adalah diharapkan beberapa perjanjian persefahaman lagi akan ditandatangani menjelang hujung tahun ini untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama ini," kata Mohamad.
Yang turut hadir ialah Pengarah ISDEV, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh serta beberapa orang pensyarah dan pelajar ISDEV yang turut serta dalam Dialog Universitas Jember USM dan Konferens Internasional Pembangunan Islami Kedua selama 3 hari bermula semalam.
Esok, Naib Canselor USM itu akan memberi ucap utama dalam persidangan ini yang bertajuk Kenapa Penelitian Metodologi Islami.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1085