USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANGUNKAN DASHBOARD PENTADBIRAN DAN PERKHIDMATAN

Universiti Sains Malaysia (USM) membangunkan ‘dashboard’ untuk memantau pencapaian jabatan-jabatan pentadbiran dan perkhidmatan yang ada dalam usaha untuk memastikan semua pusat tanggungjawab memainkan peranan mencapai misi dan visi universiti.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey ketika berucap merasmikan bengkel dan taklimat khas Dashboard Prestasi Institusi dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) (Pentadbiran dan Perkhidmatan) berkata, penyediaan ‘dashboard’ ini adalah sebahagian daripada usaha meneruskan kecemerlangan institusi secara berterusan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

“Ini adalah juga usaha merealisasikan moto Kami Memimpin yang berusaha menerajui usaha seperti ini dan saya menyeru agar semua jabatan bekerjasama menjayakannya agar kita dapat melihat pencapaian yang dilakukan oleh seluruh jabatan untuk dilakukan penambahbaikan dengan sewajarnya,” kata See kepada kira-kira 100 orang peserta yang hadir.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Rozman Din berkata, Dashboard Prestasi Institusi dan PTJ (Pentadbiran dan Perkhidmatan) ini adalah satu sistem pemantauan dan penilaian pelaksanaan operasi pentadbiran secara berstruktur.

“Dashboard ini sebenarnya adalah untuk memperkasakan pemantauan pengoperasian PTJ selari dengan hala tuju universiti serta memastikan PTJ perkhidmatan dan pentadbiran menjadi penggerak agenda USM,” kata Rozman.

Melalui dashboard ini, PTJ perlu menyenaraikan fungsinya, memilih fungsi operasi yang sesuai, menyenaraikan faktor kejayaan dan sekurang-kurangnya tiga faktor kejayaan kritikal dengan indikator petunjuk prestasi, sasaran prestasi dan jangkaan sumber data berteraskan 10 fungsi pengoperasian yang diberi.

“Antaranya ialah tadbir urus, kepatuhan institusi, keselamatan dan kesihatan, aset, perkhidmatan dalaman, sumber manusia dan kesejahteraan, kepatuhan dan risiko kewangan, ‘positioning’, penyelidikan dan perubatan,” kata Rozman.

Para peserta diberikan latihan ‘hands-on’ untuk menjayakan usaha ini akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat.

Teks: Mohamad Abdullah​

  • Created on .
  • Hits: 1297

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024