USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARGAI PELUANG BERADA DI DESASISWA SEBAIK MUNGKIN

Pengalaman belajar di kampus universiti terutamanya di desasiswa perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mahasiswa dalam memupuk nilai kebersamaan selain menyemai perasaan sayangkan desasiswa dan universiti.

Demikian kata Pengarah (Pembangunan Pelajar) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Sains Malaysia, Dr. Nazaruddin Zainon, 46, yang juga Pensyarah Kanan dan Pakar Sejarah Indonesia-Asia Tenggara serta Proto-Sejarah dalam satu sesi temubual sempena Program Siswa Lestari (PSL) Sidang Akademik 2015/2016, “Walkrobik Kampus” dan Konvoi Berbasikal VIP di sini.

Jelasnya, pengalaman yang ditimba sepanjang tempoh menuntut ilmu di USM harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memupuk perasaan sayangkan desasiswa dan universiti sebagai tempat untuk menimba ilmu dan pengalaman.

“Sebagai contoh pada hari ini, kita dapat lihat para pelajar bersatu hati dan bersama menghasilkan sorakan yang terbaik,” katanya lagi.

Katanya lagi, kebersamaan ini amat penting lebih-lebih lagi bagi mahasiswa yang akan tinggal dalam satu komuniti besar sehingga 2,000 orang lebih dalam sesebuah desasiswa dan rasa bersama ini akan mewujudkan nilai perpaduan dan toleransi dalam kalangan mereka.

Nazaruddin turut menasihati para pelajar supaya meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat untuk diri sendiri apatah lagi kepada universiti dengan menggunakan masa serta kesempatan yang ada untuk merebut peluang sebaik mungkin supaya menjadi yang terbaik dalam kalangan yang ada.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam program berkenaan termasuklah Maskot Terbaik yang menobatkan Desasiwa Saujana dengan mendapat sebanyak 45 markah, PPSL Terbaik pula dimenangi oleh Desasiwa Fajar Harapan, manakala Pasukan Sorakan Terbaik dan Banner Kreatif pula disandang oleh Desasiwa Tekun.

Konvoi berbasikal VIP bermula di Dataran Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA) dan tamat di Stadium Olahraga USM yang turut diisi dengan aktiviti senamrobik beramai-ramai bagi mengukuhkan ukhwah dan jalinan kekeluargaan di antara pengurusan tertinggi USM yang disertai oleh hampir 3,000 orang pelajar baharu USM yang berdaftar bagi sesi akademik 2015/2016.

Sementara itu, Penghulu PPSL Muhammad Shahmi, 23, pula menyifatkan nilai kebersamaan dan kerjasama yang ditonjolkan oleh mahasiswa sepanjang Minggu Siswa Lestari memperlihatkan pelajar Accelerated Programme For Excellence (APEX) melalui kesungguhan dan semangat yang ditonjolkan adalah begitu mengkagumkan.

“Saya merasakan kami bagaikan sebuah keluarga kerana dalam sebarang program yang dijalankan, semuanya memberikan kerjasama dan sentiasa komited yang menunjukkan mereka bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu,” kata pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM pengkhususan Ekonomi itu lagi.

Bagi Lepasan Matrikulasi yang kini mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF) USM, Amirah Afiqah Bakri, 19, pula gembira kerana terpilih sebagai salah seorang pelajar USM dengan status APEX selain peluang yang diberikan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Sepanjang PSL ini, saya bersyukur kerana dapat kenal ramai rakan, malahan layanan daripada senior-senior PSL juga amat baik sekali dan saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh selama empat tahun mengikuti pengajian di USM,” kata pelajar pengkhususan Fizik Perubatan itu lagi.

Sementara itu, Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang kini mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) pengkhususan Sastera dengan Pendidikan, Syed Idris Syed Hussein, 20, pula berbangga kerana terpilih mengikuti pengajian pendidikan di sini yang disifatkannya sebagai yang terbaik dan berkelas dunia dengan status APEX yang dimiliki.

Bakal guru itu turut melahirkan rasa gembira kerana sepanjang PSL ini berlangsung, dia dapat menyesuaikan diri dan selesa selain berharap persekitaran itu akan kekal sehingga tamat pengajian nanti.

Yang hadir sama ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, para pegawai universiti dan ibubapa.

Teks: Syuhada Abd. Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1575

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024