MAHASISWA PERLU PEKA KEMAJUAN PESAT KESIHATAN
KUBANG KERIAN, KELANTAN, September 2015 - Mahasiswa pengajian Sains Kesihatan, Perubatan dan Pergigian terutamanya peka dengan cabaran dan perkembangan bidang kesihatan pada masa akan datang kerana masyarakat kini begitu arif dengan keperluan dan pencapaiannya dalam dunia hari ini.
Demikian pesanan Ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) Tengku Tan Sri (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff kepada pelajar-pelajar baharu Kampus Kesihatan USM ketika Majlis Sambutan Siswa baru-baru ini.
"Pesakit masa kini tidak gentar untuk ke hospital kerana mereka datang dengan harapan untuk memperbaiki tahap kesihatan mereka dan untuk terus hidup lebih lama", katanya.
Menurut Tengku Mahaleel, dalam penjagaan kesihatan masa kini, pesakit yang hendak bertemu doktor akan memilihnya bergantung kepada tahap terbaik sesebuah hospital dan stafnya, yang jika tidak berada pada tahap tertinggi, mereka akan memilih hospital lain yang lebih baik.
"Pesakit zaman ini terlalu memilih kualiti serta kaedah rawatan diri terbaik dan akan menggunakan aplikasi internet untuk memperolehi maklumat berkaitan hospital yang akan mereka kunjungi serta maklumat-maklumat lain berkaitan", ujarnya lagi.
Tambah Tengku Mahaleel, kecanggihan bidang teknologi dan juga robotik antara faktor yang menyebabkan bidang penjagaan kesihatan ini pesat membangun dan sebagai buktinya, bidang penjagaan kesihatan di seluruh dunia sekarang ini bernilai kira-kira USD3 trillion atau kira-kira RM12 trillion yang memberi tempias kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan akibat perkembangan teknologi, namun pesakit akan terus memilih untuk membayar bagi mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan yang terbaik.
"Di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), kita mampu berubah selari dengan perkembangan semasa dan semuanya perlu berkait dengan pelaburan, peranan seorang doktor, kepercayaan pesakit dan tanggapan mereka bahawa doktor tidak akan gagal dalam merawat mereka", tegasnya lagi.
Mahaleel turut menasihati pelajar-pelajar baharu supaya bekerja keras untuk menjadi yang terbaik dan bekerja kuat untuk menjadi nombor satu, seorang doktor yang cemerlang yang tidak berat sebelah dalam memilih pesakit mengikut agama, bangsa dan kepercayaan serta jangan biarkan wang dan ketamakan menguasai diri, teruskan belajar dan belajar tanpa menemui titik noktah dalam memperolehi ilmu.
Seramai 4,378 calon dari lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/ Diploma/Setara telah mendaftar di ketiga-tiga Kampus USM bagi mengikuti pelbagai program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) pada Sidang Akademik 2015/2016 dengan 737 orang mendaftar Kampus Kesihatan.
Teks/Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1268