USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HASILKAN APLIKASI ANDROID BANTU JEMAAH HAJI DAN UMRAH

 DSC3935fgh

PULAU PINANG, 8 September 2015 - Dalam usaha membantu berjuta orang jemaah haji dan umrah yang melakukan ibadah di tanah suci Mekah dan Madinah, beberapa aplikasi mudah alih berjaya dibangunkan oleh penyelidik tempatan yang boleh dimuat turun menggunakan telefon pintar atau tablet.

Menurut penyelidik dan pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor  Madya Muhammad Rafie Hj Mohd Arshad, usaha ini adalah atas kesedaran dan niat untuk membantu para jemaah mendapat hasil yang terbaik dari ibadah yang dilakukan apatah lagi kebanyakan mereka adalah pertama kali berbuat demikian di tanah suci Mekah dan Madinah.

“Kita sedar tentang kesukaran sesetengah jemaah mencari jalan pulang ke tempat penginapan mereka dan juga ingin mendapatkan maklumat tentang ibadah mengikut amalan sunnah Rasulullah S.A.W yang kini dibantu melalui maklumat yang disediakan sebagai rujukan tambahan dari ilmu dan maklumat yang sedia ada,” kata Muhammad Rafie.

 DSC3947vnm

Aplikasi ini juga adalah hasil dari geran penyelidikan di bawah Universiti APEX dan Kluster Penyelidikan Haji sejak beberapa tahun lalu yang kini berupaya menyediakan aplikasi mudah alih yang inovatif untuk para jemaah berdikari semasa mengerjakan ibadah tersebut, membimbing dan memudahkan mereka merujuk dalam aplikasi yang mengintegrasi maklumat dan teknologi semasa, menyediakan maklumat persekitaran semasa kepada bakal jemaah, membangunkan sistem penjejakan kedudukan jemaah yang tersesat, membangunkan sistem panduan arah lokasi yang menggunakan teknologi ‘augmented reality’ (AR) dan GPS serta membangunkan sistem pembimbing ibadat haji dan umrah melalui pendekatan langkah demi langkah.

“Melalui Aplikasi M-Umrah misalnya, panduan langkah demi langkah cara-cara mengerjakan ibadat umrah dari persediaan di tanah air sehingga selesai menunaikan ibadah disediakan yang melibatkan komponen aplikasi umrah sepintas lalu, tips dan panduan, permasalahan, tata cara ibadah umrah dan bacaan doa serta semakan akhir (sah atau tidak) dengan sistem carian para jemaah umrah, yang dibangunkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara percuma serta versi pro yang berbayar termasuk dalam Bahasa Indonesia,” katanya lagi.

 DSC3958fg

Di samping itu pihaknya juga membangunkan aplikasi Jelajah Maya Madinah untuk mereka yang ingin menjejaki kota suci Madinah dengan tatacara yang mengikut sunnah dan adab-adab tertentu di samping pelbagai tips panduan.

“Kami juga membangunkan aplikasi Penjejak Lokasi Makkah AR dan Penjejak Lokasi Madinah AR di samping Sistem Penjejak Lokasi Makkah GPS yang membantu pengguna untuk mencari aluan arah ke lokasi yang ingin dituju pada peta yang berintegrasi dengan lantai Masjidil Haram bagi memudahkan para jemaah mengetahui kedudukan mereka,” kata Muhammad Rafie.

Menariknya, usaha juga dibuat untuk membangunkan aplikasi Sistem Penjejak Lokasi Jemaah Tersesat SMS/GPS berasaskan sistem pengoperasi android.

“Dalam konteks pengurusan haji dan umrah, sistem ini boleh digunakan untuk menjejak lokasi jemaah haji yang hilang atau kedudukan petugas di lapangan yang terdiri daripada Tablet Pelayan – Pusat Kawalan yang mengendalikan penerimaan SOS SMS bagi mendapatkan bantuan dari Jemaah yang mendaftar,” jelasnya lagi.

Tambahnya, Tablet Pelayan juga mengendalikan pengagihan tugas penjejakan lokasi jemaah kepada para petugas yang berada di lapangan yang akan menyemak kedudukan GPS para jemaah pada peta dan petugas yang terdekat akan ke lokasi untuk memberi bantuan atau memaklumkan kepada pusat kawalan melalui khidmat pesanan ringkas sms sebagai laporan status penjejakan.

“Sistem ini juga boleh digunakan untuk memantau perjalanan bas ke sesuatu lokasi dan kedudukan lokasi bas yang dalam perjalanan dapat disemak statusnya untuk menentukn kemungkinan berlaku kerosakan kenderaan untuk dihantar bantuan ke tempat bengkel yang berhampiran,” kata Muhammad Rafie.

Pihaknya berharap, usaha ini akan dapat membantu umat Islam di seluruh dunia mengerjakan haji atau umrah dalam menghadapi pelbagai masalah yang ada dengan mendapat yang terbaik dari ibadah yang dilakukan.

Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 2449

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024