USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM GEMBLENG KEPAKARAN PELBAGAI INSTITUSI BANTU PERKASA PENYELIDIKAN HAJI

Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama beberapa buah institusi pengajian tinggi di negara ini bekerjasama untuk merealisasikan usaha dalam Program Penyelidikan Haji yang kini membawa kepada usaha penawaran program pengajian peringkat ijazah tinggi dalam pengutusan haji dan umrah.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, USM dijangka akan menawarkan program secara mode campuran penyelidikan dan kerja kursus dalam bidang ini dalam sedikit masa lagi di samping berjaya juga menghasilkan 9 aplikasi android yang boleh dimuat turun untuk faedah jemaah haji dan umrah menggunakan kepakaran yang ada.

“Ini termasuklah aplikasi M-Umrah, M-Umrah (Bahasa Inggeris), M-Umrah Pro, M-Umrah Pro (Bahasa Indonesia), Jelajah Maya Madinah, Sistem Penjejakan Lokasi Makkah GPS, Penjejakan Lokasi Makkah AR (Augmented Reality) dan Penjejakan Lokasi Madinah AR (Augmented Reality), Sistem Penjejakan Jemaah Hilang dan Sistem Penjejakan Lokasi Famili dan Jemaah,” kata Omar.

Usaha penyelidikan ini melibatkan rakan kerjasama strategik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak tahun 2012 di samping para penyelidik bersama dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Malah penyelidikan ini membuahkan kejayaan dalam memeta kolaborasi debgan pelbagai pihak diu luar negara seperti Ministry of Religious Affairs and Inter-Faith Harmony Pakistan, University of Punjab Lahore Pakistan, Virtual University Pakistan, Presidency of Religious Affairs Turkey, Erciyes University Turkey, Kementerian Agama Bandung, Pusat Penelitian dan Pengembangan Kesejahteraan Sosial Indonesia, Taibah University Madinah, HajjCore Makkah, Universiti Islam Madinah, Ummul Qura University Makkah dan Universiti Tabuk.

Menurut Omar lagi, tumpuan utama pasukan penyelidik ini ialah untuk menggembleng kepakaran Sains dan Teknologi yang ada yang berusaha membantu memperkasakan lagi usaha sedia dalam pengurtusan haji dan umarh dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

“Fokus kita ialah kepada hal-hal yang berkaitan dengan kesihatan dan orang ramai atau ‘health and crowd’   dengan mengadakan kutipan data oleh semua projek yang terlibat, misalnya pada musim haji 2013, empat orang penyelidik telah menjalankan kutipan data untuk pertama kalinya selepas menerima geran ini,” kata Omar yang juga menjadi ketua kluster penyelidikan ini.

Pada masa ini kluster penyelidikan haji ditempatkan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM ini bukan sahaja untuk tujuan akademik tetapi juga meningkatkan kepakaran yang ada dengan penghasilan ilmuan sarjana dan doktor falsafah serta menjalin kolaborasi dengan pelbagai pihak yang terlibat termasuk pihak Tabung Haji termasuk menandatangani Non Disclosure Agreement dengan Tabung Haji pada tahun lalu.

“Kita juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menjayakan usaha demi untuk faedah umat Islam sejagat ini,” kata Omar.

Perkembangan penyelidikan haji ini telah dibentangkan dalam satu bengkel pemantapan di Kelantan baru-baru ini yang melihat pencapaiannya dan berkongsi idea-idea baharu untuk memperkasakan usaha tersebut.

Yang turut hadir pada bengkel ini adalah Pengarah Pusat Islam USM Profesor Dato' Dr. Muhammad Idiris Salleh dan Ketua Program Kearifan Tempatan USM Profesor Dr. Badaruddin Mohamed yang berkongsi pengalaman dan idea beliau dalam menguruskan program seperti ini.

Antara yang membentang kertas kerja ialah Ketua Projek “Evacuation Modelling Of Pilgrims During Hajj”, Profesor Dr. Ahamed Tajudin Khader, Ketua Projek ‘Social Psychology Of Crowd Behaviour During Evacuation’ Profesor Madya Dr. Zulkarnain Ahamad Hatta, Ketua Projek ‘Monitoring Hajj Crowd: Adaptive Crowd Control With Cognitive Embedded System (ACCCES)’ Profesor Mohamad Kamal A. Rahim, wakil Ketua Projek Novel Methods To Reduce Respiratory Infections During Hajj’ Prof. Madya Dr. Nor Iza A. Rahman Ketua Projek ‘Risk Factors and Causative Agents Of Respiratory Infections Among Malaysian Hajj Pilgrims’ Profesor Dr. Habsah Hasan dan penyelidik bersama untuk projek Integrated Crowd And Health Management System, Profesor Madya Dr. Muhammad Rafie bin Hj. Mohd.

“Kita akan meneruskan usaha menggenbleng pelbagai kepakaran yang melibatkan kolaborasi dengan agensi-agensi dalam negara mahu pun di peringkat dunia untuk faedah jemaah haji sedunia dengan membangunkan modul-modul tertentu yang dapat merealisasikan usaha tersebut serta menambahkan bilangan ilmuan yang dapat meneruskan kelangsungannya pada masa hadapan,” kata Omar.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1128

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024