17 ORANG PENSYARAH TELKOM UNIVERSITY BANDUNG SAMBUNG PENGAJIAN DI USM
PULAU PINANG, 7 September 2015 – Seramai 17 orang tenaga pengajar dari Telkom Universiti (TU) Bandung Indonesia akan mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D.) di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Sains Malaysia (GSB USM) hasil memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangani pada Jun lalu.
Timbalan Dekan (Penyelidikan), Profesor Madya Dr. Siti Nabiha Abdul Khalid yang mengalu-alukan mereka dalam majlis penandatanganan MoA dan pendaftaran rasmi di sini berkata, para pensyarah TU tersebut dijangka menamatkan pengajian dalam tiga tahun setengah. Mereka akan datang ke USM pada setiap semester untuk menyiapkan dan mengemaskini kerja penyelidikan masing-masing.
“Pada peringkat permulaan ini, mereka perlu membentang proposal penyelidikan kepada penyelia yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah GSB USM sebelum meneruskan penyelidikan mereka di Bandung di samping meneruskan tugas pengajar di sana,” kata Siti Nabiha.
Sementara itu, Naib Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Sistem Maklumat) TU, Dr. Heroe Wijanto menghargai usaha USM kerana memberi peluang kepada tenaga pengajar TU untuk melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran di USM.
"Saya berharap dengan adanya program usaha sama seperti ini akan memberi manfaat yang besar dalam perkembangan ilmu kepada mereka serta meningkatkan lagi kualiti pendidikan kepada para pensyarah TU ini," kata Heroe Wijanto.
Tambahnya lagi, pihak TU berazam untuk memupuk hubungan yang lebih rapat dan bermakna dengan USM melalui hasil-hasil penyelidikan yang berimpak tinggi yang diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha memajukan bakat dan keupayaan para pensyarah secara menyeluruh dan seimbang dari dalam kalangan ahli akademik kedua-dua institusi.
Heroe Wijanto turut menasihati pensyarahnya yang menyambung pengajian di USM agar mempunyai keazaman yang tinggi dalam menghabiskan pengajian mereka walaupun dalam tempoh masa yang sama masih perlu mengajar di sana.
"Saya ingin mereka tepati waktu dan jadual yang ditetapkan oleh penyelia masing-masing, ‘target’ atau sasaran menyiapkan tesis mengikut jadual dan tidak menimbulkan masalah kepada universiti dan penyelia agar semuanya akan diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan," tambahnya lagi.
Yang hadir sama dalam majlis penandatangan dokumen persefahaman dan meraikan calon-calon doktor falsafah ialah Timbalan-timbalan Dekan GSB, para pensyarah dan rombongan delegasi TU.
Teks: Syuhada Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1218