USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANGKUL HATRICK ANUGERAH MYPSA BEST SOCIETY AWARD KATEGORI IPTA PERINGKAT KEBANGSAAN

1441595745359

PULAU PINANG, 6 September 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) merangkul anugerah MyPSA Best Society Award kategori IPTA peringkat kebangsaan buat tahun ketiga berturut-turut melalui pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) yang diberikan oleh Persatuan Pelajar Farmasi Malaysia (Malaysian Pharmacy Students Association - MyPSA).

Pelajar PPSF, Amril Radzman bin Amrahi yang menerima anugerah ini buat USM berkata, kejayaan yang diperolehi ini adalah hasil kerja berpasukan yang diterapkan oleh semua ahli persatuan Sains Farmasi USM khususnya exco-exco persatuan dalam tempoh sidang ini dalam menjalankan program-program serta aktiviti yang terbaik dan berimpak tinggi.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dekan PPSF Profesor Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar yang memberi bimbingan, Dr. Nornisah Mohamed, Dr. Nurzalina Abd. Kharim Khan, serta tunjuk ajar oleh Penasihat, Profesor Dr. Mohamed Azmi Hassali dan Penasihat Bersekutu Dr. Hassaan Rathore, Dr. Aisyah Saad, Dr. Fahad Saleem, Dr. Balamurugan a/l Tanglisuran, Dr. Baharudin Ibrahim, Penasihat Program yang lain, staf pentadbiran, staf teknikal, staf Klinikal Pharmtech dan individu-individu yang membantu secara langsung ataupun tidak langsung dalam tahun ini," katanya yang juga bekas Presiden Persatuan Sains Farmasi (PSF) USM Sidang Akademik 2014/2015.

Tambah Amril, tidak dilupakan juga tulang belakang projek-projek PSF termasuk NPSC - Kuku Kucing oleh Ahmad Amzar dan Nur Safinaz, KSP - UNPAD oleh Fauziah Hanim dan Ahmad Azman, Kempen Kesihatan Masyarakat (Public Health Campaigns) yang diketuai oleh Fahim, Bowling Day oleh Yuenk Kiat Chiew dan Pharmily Day oleh Farhan Khosim.

"Saya tahu tahun ini, kedukaan, keletihan dan penat lelah telah dicurahkan oleh semua yang terlibat, marilah kita ambil pengalaman ini untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan, dan dengan ini, saya ingin memberi cabaran ini kepada Presiden PSF sekarang Muhammad Alif dan pasukan untuk meneruskan legasi kecemerlangan ini serta mempertahankan anugerah ini untuk USM buat kali keempat," tambahnya.

Sementara itu, Presiden PSF sidang ini, Muhammad Alif Bin Ali Mazlan pula berkata, sekalung tahniah diucapkan kepada PSF kerana sekali lagi merangkul gelaran The Best Society Award untuk kategori IPTA, tahniah dan syabas diucapkan kepada Amril Radzman serta barisan exco sidang 2014/2015 kerana dengan semangat berdedikasi kepimpinan mereka, PSF sekali lagi menempa nama di peringkat kebangsaan.

"Sekalung tahniah juga wajib dizahirkan kepada semua pelajar sains farmasi kerana menjadi nadi kepada setiap projek yang dijalankan dan tanpa anda semua, kejayaan di hari ini tidak akan dicapai," tegasnya lagi.

Penasihat Bersekutu, Dr. Hassaan Rathore pula menegaskan, beliau sangat gembira dan bangga dengan semua pelajar yang tidak pernah rasa penat lelah dalam mereka bentuk, merancang, dan melaksanakan dengan jayanya projek-projek untuk meningkatkan komunikasi individu serta hubungan yang terjalin sepanjang tahun ini.

"Tekad mereka untuk memulakan, menyusun, mencari dan mengumpul dana untuk program serta melaksanakan dengan jaya adalah jelas menunjukkan kepimpinan mereka akan berkembang di PPSF," katanya lagi.

Tambah Hassaan, projek-projek yang dijalankan menitikberatkan pelbagai aspek penting termasuk kerja kebajikan, khidmat masyarakat, perkongsian pengetahuan sains farmaseutikal dengan orang awam, lawatan industri, penerbitan Pharmakon (majalah farmasi), pertandingan sukan, program Convex, pertandingan kuiz akademik dan banyak lagi.

"Akhir kata, saya dengan bangganya ingin menyatakan bahawa pelajar-pelajar kita adalah graduan terbaik yang diterima industri melalui kecemerlangan mereka dalam aspek komuniti, kokurikulum serta pencapaian dalam kokurikulum tambahan," ujarnya lagi.

MyPSA ialah persatuan yang dianggotai oleh pelajar-pelajar bidang Sains Farmasi dari seluruh universiti awam dan swasta di Malaysia. Setiap tahun persatuan ini akan menerima laporan aktiviti tahunan daripada semua universiti yang menganggotainya dan memberi pengiktirafan kepada yang berjaya bergantung pada ciri-ciri pengadilan yang menekankan aspek kuantiti, kualiti, aktiviti berstruktur kemasyarakatan yang mempunyai impak sosial dan peluang pembelajaran serta kualiti kemahiran yang tidak ketara.

MyPSA Best Student Award dimenangi oleh pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) manakala MyPSA Best Society Award peringkat IPTS dimenangi oleh Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS). Majlis berlangsung di Bangunan Persatuan Farmaceutika Malaysia (Malaysian Pharmaceutical Society Building) di Puchong, Selangor.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ihsan MyPSA & Dr. Hassaan Rathore

  • Created on .
  • Hits: 1829

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024