ISAHS MEDIUM PERTUKARAN ILMU ANTARA PELAJAR DAN PEGAWAI SAINS KESIHATAN SELURUH DUNIA
KOTA BHARU, 6 September 2015 – “International Symposium On Allied Health Sciences (ISAHS) diharap dapat menjadi medium pertukaran ilmu antara para pelajar dan pegawai sains kesihatan dari seluruh dunia dengan menumpukan kepada kajian dan penyelidikan yang dijalankan dalam bidang Sains Kesihatan serta cabaran-cabaran dalam usaha membangunkan bidang ini.”
Demikian harapan Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed ketika merasmikan majlis tersebut di Hotel Renaissance, di sini semalam.
Menurut Mafauzy, simposium ini adalah platform terbaik untuk para penyelidik, ahli akademik dan para pelajar berkongsi ilmu serta bertukar-tukar pengetahuan baharu yang berharga untuk pembangunan sains dan teknologi.
“Simposium ini dapat menghuraikan tentang gabungan sains kesihatan dan teknologi moden untuk kesejahteraan manusia dan alam sekitar serta cabaran-cabaran dalam usaha membangunkan bidang ini selaras dengan temanya ‘Integrasi Sains Kesihatan dan Teknologi untuk Kesejahteraan Manusia dan Ekosistem’.
“Usaha ini selaras dengan misi Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM untuk melahirkan para siswazah yang profesional dan berintelektual selain membantu dalam mengembangkan kemahiran berfikir dan perhubungan antara para graduan dan pegawai profesional sains kesihatan,” ujar Mafauzy.
Selain itu, Mafauzy berkata, simposium ini juga bertujuan untuk mendedahkan para peserta dengan teknologi baharu yang digunakan dalam bidang sains kesihatan bagi meningkatkan perkhidmatan perawatan pesakit.
“Kepesatan teknologi moden telah memberikan bantuan yang besar kepada kesihatan manusia terutama dalam perawatan pesakit. Gabungan idea, pemahaman dan kepakaran antara bidang sains dan teknologi berkait rapat dan saling bergantung untuk menghasilkan produk yang inovatif,” jelasnya lagi.
Yang hadir sama dalam simposium berkenaan ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan) PPSK, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengerusi Program Bioperubatan PPSK merangkap Penyelaras program ISAHS, Dr. Rapeah Suppian dan Penyelaras bersama program ISAHS, Dr. Wan Amir Nizam Wan Ahmad.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman.
- Created on .
- Hits: 1189