WARGA USM DIGALAK POHON GERAN INOVASI SOSIAL
NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 4 September 2015 – Semua warga Universiti Sains Malaysia (USM) digalakkan memohon geran inovasi sosial yang ditawarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi penghasilan produk atau inovasi tanpa penyelidikan.
Geran ini dapat membantu untuk memacu teknologi dalam kalangan masyarakat serta membangunkan negara menjadi sebuah negara yang berteknolgi tinggi.
Demikian kata Timbalan Menteri MOSTI yang juga mantan pensyarah USM, Dato’ Dr. Abu Bakar Mohamad Diah ketika sidang media selepas menyampaikan taklimat khas Sesi Bersama Pemimpin Negara kepada pelajar baharu sempena Program Siswa Lestari di Kampus Kejuruteraan, di sini.
Tambah beliau, produk atau inovasi tersebut mestilah yang memberikan impak kepada masyarakat serta dapat meringankan kerja harian masyarakat tempatan.
“Kementerian disarankan untuk bertemu muka dengan lebih 300,000 orang pelajar setahun untuk mempromosikan sains dan teknologi serta bagi melahirkan 70 orang saintis dalam kalangan 10,000 orang pelajar,” tambah Abu Bakar.
Menurut Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak kehadiran Abu Bakar untuk kembali memberikan nasihat dan motivasi kepada pelajar di kampus tersebut adalah sesuatu yang relevan kerana beliau juga adalah mantan pensyarah dalam bidang kejuruteraan.
“Taklimat atau ceramah yang disampaikan kepada pelajar adalah sangat santai dan bersahaja namun diselitkan mesej-mesej yang berfaedah kepada para pelajar baharu di sini serta untuk menjadi pendorong dalam bidang pelajaran dan pembelajaran,” katanya.
Seramai 673 orang pelajar baharu mendaftar di Kampus Kejuruteraan USM termasuk 47 orang pelajar golongan tercicir (Bottom Billion) pada sidang 2015/2016. TEKS: NOR RAFIZAH HAJI MD ZAIN
- Created on .
- Hits: 973