WALKROBIK DAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN 2015 MERIAH
NIBONG TEBAL, 4 September 2015 – Program Walkrobik dan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-58 yang diadakan di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia di sini hari ini berlangsung dalam suasana meriah.
Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak berkata semua program yang dianjurkan oleh pihak universiti sepanjang Program Pimpin Siswa Lestari (PPSL) adalah untuk memastikan mereka menjadi yang terbaik.
“Universiti sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai aktiviti dalam memastikan semua mahasiswa sentiasa berada di hadapan dan bersedia menghadapi cabaran”, katanya semasa merasmikan program tersebut.
Tegasnya, USM sentiasa berada di hadapan dalam pelbagai bidang sama ada dalam akademik dan pembelajaran mahupun penyelidikan.
“Saya mahu semua sentiasa cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah dalam aktiviti sukan dan ko-kurikulum,” ujar Zainal.
Program kedua terakhir sepanjang Program Siswa Lestari ini memerlukan semua mahasiswa baharu dan staf berjalan mengelilingi sebahagian kawasan kampus sejauh 1.9 kilometer.
Lebih memeriahkan sepanjang perjalanan diiringi dengan kayuhan beca dan basikal tua yang bewarna-warni serta paluan gendang dan lagu kebangsaan.
Yang turut hadir memeriahkan majlis ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Ahmad Zuhairi Abdullah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur program Walkrobik dan Sambutan Hari Kemerdekaan 2015.
Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin
- Created on .
- Hits: 1298