USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERSEMBAHAN BUDAYA MERIAHKAN MAJLIS MAKAN MALAM PELAJAR BAHARU

KUBANG KERIAN, 4 September 2015 – Persembahan pelbagai warisan budaya masyarakat berbilang kaum memeriahkan majlis Makan Malam Pelajar Baharu Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan sesi akademik 2015/2016.

Persembahan selama dua jam itu menampilkan persembahan tarian, alat muzik dan nyanyian lagu-lagu pelbagai etnik di dalam negara seperti zapin, klasik india, lagu masyarakat cina dan deklamasi sajak oleh para pelajar.

Gabungan pelbagai warisan budaya dalam satu persembahan itu menjadi manifestasi menjayakan konsep 1 Malaysia.

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dato' Dr. Mafauzy Mohamed menjadi tetamu kehormat majlis yang dihadiri lebih 500 orang pelajar itu.

"Menerusi acara sebegini, ia bukan saja mengeratkan persefahaman dan memperkukuhkan jalinan silaturahim antara satu sama lain, tetapi juga menjadi pentas terbaik mengetengahkan warisan seni budaya rumpun masyarakat kita" ujar Mafauzy.

"Dengan demikian, ia secara langsung mendokong gagasan pimpinan kerajaan mewujudkan sebuah bangsa yang bersatu padu, dinamik dan progresif, sekaligus merealisasikan konsep 1 Malaysia," katanya.

Ketua Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria berkata pihaknya bercadang akan mengekalkan konsep persembahan budaya pelbagai etnik ini setiap kali kemasukan pelajar baharu.

Selain itu aktiviti sebegini boleh mengeratkan semangat kerjasama para pelajar.

"Saya amat berbangga dengan kreativiti yang ditunjukkan oleh para pelajar ini kerana mereka mampu menyesuaikan diri dengan rakan baharu serta menghasilkan persembahan yang menarik perhatian semua" katanya.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Ehsan daripada UKAST

  • Created on .
  • Hits: 1083

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024