YDP MPP USM SERU MAHASISWA KOMPETITIF DI PERINGKAT GLOBAL
PULAU PINANG, September 2015 - Kepimpinan ke arah pemikiran global amat diperlukan supaya mahasiswa mampu bersaing di alam pekerjaan kelak mahu pun di dalam atau luar negara berlandaskan pegangan-pegangan tertentu.
Demikian merupakan pesanan yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) Mohamad Shafiq Kamaruddin ketika Majlis Sambutan Siswa sidang akademik 2015/2016 di Kampus Induk USM kelmarin.
Menurut Shafiq, mahasiswa perlu menguasai bahasa Inggeris dan bahasa ketiga supaya mereka dapat pergi lebih jauh lagi, sebagai contoh, MPPUSM telah berjaya menjalinkan hubungan dengan negara Jepun, Perancis, Jerman dan lain-lain dalam bidang tertentu.
"Nilai kemanusiaan yang menerapkan aspek kesukarelawanan pemikiran global pada mahasiswa amat penting sebagai contoh, MPPUSM telah bekerjasama dengan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan iM4U dalam membuka minda mahasiswa lebih cakna dengan persekitaran masa kini serta MPPUSM juga telah membantu Institut Pengajian Siswazah (IPS) dan Pejabat Antarabangsa dalam misi bantuan bencana alam di Nepal dan Filipina," katanya.
Ujar Shafiq lagi, dari sudut keusahawanan antarabangsa pula, USM memandang serius aspek perniagaan antarabangsa untuk dilaksanakan para mahasiswa, antaranya ialah inisiatif penubuhan ASEAN Student Entrepreneurship Network (ASENet) kelak hasil rundingan di Medan Indonesia baru-baru ini dan juga program di Chiang Mai Thailand yang melibatkan keusahawanan peringkat antarabangsa sekaligus menunjukkan program-program yang dilaksanakan MPPUSM berdaya saing dengan usahawan luar.
"Kelestarian merupakan agenda yang sentiasa diperhalusi dan dari segi memelihara alam sekitar, pihak MPPUSM berterusan berganding bahu bersama Sekretariat Kampus Sejahtera di peringkat universiti dan juga global.
"MPPUSM juga tidak sesekali melupakan hal ehwal kebajikan dan suara mahasiswa USM di dalam persekitaran kampus yang tercinta ini serta elemen penting yang harus ditekankan iaitu penghakupayaan para mahasiswa," tambahnya lagi.
Tegasnya lagi, Parlimen Mahasiswa juga adalah platform mahasiswa bersuara dalam satu forum yang diiktiraf oleh pihak universiti dan USM sedang dalam usaha untuk mewujudkan Parlimen Mahasiswa di peringkat global dengan menggabungkan universiti-universiti di dunia yang memiliki Parlimen Mahasiswa.
Akhir kata, Shafiq memberi pesanan kepada mahasiswa supaya memperluaskan pemikiran, bukan sekadar hanya menimba ilmu, tapi memurnikan ilmu yang diperolehi itu dan kehidupan sebenar sebagai mahasiswa adalah dengan cara kehidupan bermasyarakat.
“Warisilah semangat perjuangan untuk menimba ilmu demi menjamin kelestarian hari esok dan sematkan di dalam jiwa jati diri yang kental untuk bersatu di dalam ekosistem APEX ini,” ujarnya.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
#MPRC
- Created on .
- Hits: 1346