USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA PENERBITAN JURNAL USM MENDAPAT TARAF CREAM

LANGKAWI, KEDAH, 3 September 2015 – Tiga penerbitan jurnal Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini terpilih sebagai penerima Skim Galakan Penerbitan (CREAM), satu pengiktirafan yang diberikan kepada jurnal tempatan hasil aktiviti penyelidikan yang telah memperlihatkan prestasi tinggi dalam pangkalan data antarabangsa Web of Science (WoS) dan SCOPUS.

Daripada tiga jurnal terbitan USM tersebut, sebuah jurnal diindeks dalam kategori WoS dalam bidang Sains, Teknologi dan Perubatan iaitu Bulletin of The Malaysian Mathematical Sciences Society manakala dua lagi International Journal of Asia-Pacific Studies dan Kajian Malaysia (Journal of Malaysian Studies) diterbitkan oleh Penerbit USM di bawah kategori SCOPUS dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Program pemberian taraf CREAM kepada jurnal tempatan ini bertujuan untuk memastikan jurnal yang sudah diindeks kekal berada di dalam pangkalan data pengindeksan antarabangsa demi meningkatkan impak sitasinya.

Program ini diharapkan akan berhasil untuk menggalakkan lebih ramai penerbit jurnal, ketua dan sidang editor untuk menerbitkan jurnal yang lebih bermutu dan berimpak tinggi pada masa hadapan, sekaligus melonjakkan kualiti penulisan jurnal ke tahap tertinggi dan memartabatkan hasil karya penyelidik tempatan.

Pengiktirafan kepada jurnal tempatan terbaik ini juga merupakan inisiatif lonjakan 7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 iaitu Ekosistem Inovasi dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong bidang penyelidikan strategik dan berfokus dengan mekanisme perdanaan yang membawa kepada penyelesaian rentas disiplin yang inovatif.

Selain 3 jurnal terbitan USM itu, 10 lagi jurnal terbitan universiti tempatan turut diberikan taraf CREAM dalam majlis gilang gemilang yang diadakan di sini semalam yang turut menyaksikan Perasmian Persidangan Kebangsaan Penerbitan Jurnal Berimpak Tinggi dan juga Penyampaian Malaysia’s Rising Star Award kepada 14 saintis negara yang berjaya menghasilkan artikel jurnal yang menerima sitasi penerbitan 1% tertinggi dunia.

Daripada 14 saintis yang mendapat pengiktirafan tersebut, tujuh daripadanya adalah daripada USM.

Hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Profesor Dr. Asma Ismail; Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Naib Canselor UPSI, Profesor Dato' Dr. Zakaria Kasa; Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) USM Profesor Dato' Dr. See Ching Mey dan Naib Presiden Intellectual Property & Science, ASEAN & North Asia Thomson Reuters, Arto Valio.

Teks: Tan Ewe Hoe

#MPRC

  • Created on .
  • Hits: 1685

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024