USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TUJUH PENYELIDIK USM DIIKTIRAF DALAM MALAYSIA'S RISING STAR AWARD

LANGKAWI, KEDAH, 3 September 2015 - Kecemerlangan para penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) terus diiktiraf apabila seramai 7 orang menerima  'Malaysia's Rising Star Award' atas kejayaan menerbitkan artikel dalam jurnal penyelidikan dunia yang paling banyak dirujuk oleh penyelidik lain.

Mereka yang dinobatkan anugerah ini ialah Datuk Profesor Dr. Abdul Khalil H. P. Shawkataly dan Profesor Dr. Abd. Karim Alias dari Pusat Pengajian Teknologi Industri; Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed, Profesor Madya Dr. Mohd Roslee Othman masing-masing dari Pusat Pengajian  Kejuruteraan Kimia; Profesor Dr. Hazizan Md Akil dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral serta Profesor Madya Dr. Wan Saime Wan Ngah dari Pusat Pengajian Sains Kimia.

Seramai 14 orang penyelidik dari semua universiti awam menerima anugerah tersebut.

Anugerah  disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh, dalam satu majlis gilang gemilang yang berlangsung di sini.

Idris dalam ucapannya berkata, negara berbangga dengan produktiviti dan 'output' penyelidik yang menerima anugerah malam ini.

"Kita sedia maklum, menerbitkan penulisan artikel, ulasan buku dan sebagainya dalam jurnal akademik bertaraf dunia bukanlah perkara mudah, namun mereka telah melakukannya dengan baik agar hasil penulisan tersebut memberi faedah kepada pembaca serta rujukan kepada ahli akademik lain," kata Idris.

Pengiktirafan ini diberikan atas usaha penyelidik yang berjaya menghasilkan artikel yang menerima sitasi penerbitan 1% tertinggi dunia, dengan merujuk kepada pangkalan data Web of Science (WoS) Thomas Reuters dan Incites.

"Ini membuktikan bahawa anak tempatan kini juga telah mampu menyaingi saintis terhebat dunia," katanya lagi.

Beliau berharap program yang bertujuan memastikan jurnal tempatan yang sudah diindeks ini kekal berada di dalam pangkalan data pengindeksan antarabangsa, serta dapat meningkatkan impak sitasinya.

"Saya juga mengharapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang sedang dilaksanakan akan dapat meningkatkan lagi prestasi penyelidik tempatan di masa hadapan," kata Idris.

Yang turut hadir dalam majlis ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Profesor Dr. Asma Ismail, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Naib Canselor UPSI, Profesor Dato' Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor  (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) USM Profesor Dato' Dr. See Ching Mey dan Naib Presiden Intellectual Property & Science, ASEAN  & North Asia Thomson Reuters, Arto Valio.

Teks/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1395

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024