KERJASAMA USM-RAF SYNERGY TINGKATKAN PERAWATAN PERGIGIAN
KUBANG KERIAN, 3 September 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuhkan peranan dan sumbangannya kepada masyarakat dalam perawatan pergigian dengan menandatangani ‘Donation Agreement’ dengan RAF Synergy Sdn Bhd di sini, hari ini.
Menandatangani bagi pihak USM, Naib Canselornya Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kerjasama sebegini dapat membantu Hospital USM menjadi lebih canggih dengan kemudahan terkini pada masa akan datang berkonsepkan hospital masa hadapan.
“Berbekalkan kesedaran kepentingan perawatan pergigian khususnya, saya bersyukur dan berterima kasih kepada RAF Synergy Sdn Bhd yang telah bersetuju untuk menyumbang dan juga menaja Fixed Dental Equipment untuk perkhidmatan pergigian melalui Usains Tech Services Sdn Bhd dan beroperasi secara Perawatan Pergigian Pakar di Poliklinik Eksekutif USM.
Tambah Omar, kerjasama ini mampu membantu masyarakat dalam perawatan pesakit dengan mengetengahkan perawatan eksekutif, dan universiti secara langsung mendapat pulangan pendapatan tanpa mengganggu etika-etika perawatan di hospital sedia ada sejajar dengan hasrat kerajaan untuk pihak universiti menjana pendapatan sendiri.
“USM sedang merancang untuk pembangunan semula Hospital USM dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang berteraskan kepada satu model kerjasama dan usahasama dengan pihak swasta dan agensi-agensi yang boleh membantu Hospital USM menjadi hospital termaju dan sesuai dengan keperluan kesihatan.
“Hospital USM telah wujud selama 30 tahun dan dalam tempoh itu, pelbagai kecanggihan telah digunapakai untuk peningkatan perkhidmatan sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini dan kerjasama sebegini antara kaedah terbaik dalam membantu Hospital USM menjadi antara hospital terbaik di negara kita,” kata beliau.
Omar turut mengharapkan agar kerjasama yang dijalinkan ini dapat menjadikan HUSM sebuah hospital yang berfokuskan kepada keperluan pengajaran dan pembelajaran serta untuk keperluan penjagaan kesihatan yang lebih kompleks.
“Semoga dengan termeterainya Donation Agreement di antara kedua-dua pihak ini akan merealisasikan hasrat USM dalam memberikan perkhidmatan pergigian yang terbaik kepada masyarakat setempat khususnya dan masyarakat umum amnya,” kata beliau lagi.
USM turut diwakili oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian Profesor Dr. Adam Husein manakala Mohd Roshidy Ahmad serta Wan Muhammad Shah Wan Husain mewakili RAF Synergy Sdn Bhd. Hadir bersama Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed serta Pengurus Besar Usains Tech Services Sdn Bhd Profesor Dr. Zabidi Azhar Husin@Mohd Hussin.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sakri
- Created on .
- Hits: 1711