JANGAN AMBIL JALAN MUDAH CAPAI KEJAYAAN
PULAU PINANG, 2 September 2015 –Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini mengingatkan mahasiswa agar tidak sesekali mengambil jalan mudah untuk berjaya pada masa depan.
“Semua yang manis pada awalnya, tidak semestinya akan kekal selamanya, jika tidak berhati-hati, madu akan bertukar menjadi hempedu,” katanya ketika menghadiri Majlis Makan Malam di Desasiswa Indah Kembara yang dihadiri seramai 190 orang mahasiswa baharu.
Kata Omar, universiti sentiasa memberi peluang kepada mahasiswanya dalam memilih apa jua bidang yang diminati, menyediakan ruang dan platform membantu mereka dalam memastikan cita-cita dan hasrat dapat dipenuhi yang mana menjadi tempat untuk meneroka pelbagai cabang ilmu dan mencari pengalaman berguna untuk disatukan dengan kemahiran kendiri yang sedia ada.
Naib Canselor turut menekankan betapa pentingnya pendidikan dalam mengubah nasib seseorang, terutama kepada golongan wanita.
“Sebagai contoh, dahulu kita sering diberitahu bahawa tugas mereka hanyalah sebagai seorang isteri dan ibu, bertugas di dapur, namun kini, telah terbukti bahawa wanita juga mampu menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi yang asasnya adalah pendidikan, keazaman yang tinggi dan pada masa yang sama kebijaksanaan menguruskan kerjaya dan keluarga,” katanya lagi.
Mengambil contoh semasa pentauliahan PALAPES baru-baru ini yang melibatkan seramai 1600 mahasiswa, lebih 50% graduannya adalah wanita yang jelas membuktikan bahawa semangat dan keupayaan wanita semakin tinggi dan dihargai.
“Saya mengharapkan mahasiswa USM akan bersama-sama berganding bahu dalam mencemerlangkan universiti dan sentiasa menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik.
Bagi Cynthia Lau Chai Ling, 19, mahasiswa tahun satu jurusan Seni Halus Rekabentuk Produk, peluang menjejakkan kaki ke USM umpama ‘bulan jatuh ke riba’.
“Memang menjadi hasrat saya dari kecil lagi untuk menyambung pelajaran di sini dan syukur ianya terlaksana jua,” katanya ketika ditemui pada majlis ini.
Cynthia mengingatkan rakan-rakannya bahawa jangan hanya menumpukan perhatian semata-semata kepada akademik sahaja, tetapi harus juga melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran lain, bagi persediaan menghadapi alam pekerjaan yang bakal ditempuhi kelak.
Yang hadir sama memeriahkan majlis ialah isteri Naib Canselor, Datin Noraizan Jamaluddin, Penggawa Desasiswa Indah Kembara, Mohd Zain Dollah, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik, Noriah Mohamad dan beberapa orang pegawai Universiti yang turut melakukan kejutan menghadiahkan kek hari lahir kepada Omar.
Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin@Isa
- Created on .
- Hits: 1151