NAIB CANSELOR SERU MAHASISWA BERFIKIRAN STRATEGIK UNTUK MASA HADAPAN
PULAU PINANG, 2 September 2015 – Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) diseru menggunakan pemikiran strategik untuk berjaya dalam menghadapi persaingan yang ada dalam perkembangan politik dan ekonomi dunia yang sering bergolak dan menuntut kekuatan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang ada.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, pemikiran strategik dengan kekuatan pemikiran inilah yang akan menentukan seseorang individu dapat bersaing dengan berkesan dan beroleh kejayaan dalam jangka panjang.
“Kejayaan yang kita capai hari ini adalah hasil daripada pemikiran sedemikian, terutamanya dalam kalangan ahli-ahli akademik yang berusaha keluar daripada hanya memikirkan dan idealisme kepada usaha untuk menterjemahkan di dalam tindakan yang berterusan,” katanya.
Tambah Omar lagi, para pelajar perlu membangunkan usaha-usaha berterusan dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai institut lain di seluruh dunia seperti negara-negara Asean malah juga harus menjalinkan kolaborasi dengan negara maju seperti Amerika Syarikat bagi membina pemikiran strategik ini.
“Kita juga misalnya mempunyai jaringan Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) di mana melibatkan lebih 80 universiti dari 18 buah negara di peringkat pensyarah dan penyelidik dalam bekerjasama untuk mewujudkan jaringan dan melebarkan program-program di peringkat antarabangsa malah bersetuju untuk melebarkan jaringan ini ke peringkat pelajar kepada 80 universiti dalam 18 buah negara yang terlibat dengan jaringan APUCEN ini yang sekaligus membantu kementerian untuk melakukan lonjakan globalisasi supaya jaringan ini turut dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Siswa Lestari 2015/2016 di sini, hari ini.
Oleh yang demikian, Omar meminta supaya mahasiswa USM menjadi sebahagian dari jaringan dan jalinan tersebut apatah lagi pada saat USM sedang memperkasakan anak-anak muda untuk lebih bersikap mandiri dan melakukannya tanpa banyak campur tangan pihak atasan universiti di mana kebanyakan program USM yang diusahakan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar USM seperti Dewan Perundangan Pelajar, NRIC malah sebahagian program keusahawanan dan kesenian yang dijalankan.
“USM mempunyai pelbagai peluang untuk diambil oleh pelajarnya dalam memupuk bakat yang ada selain kita turut menyediakan dana khas untuk membantu para pelajar ini menerokai potensi diri ke peringkat yang lebih tinggi,” tambahnya lagi.
Naib Canselor USM itu turut memaklumkan bahawa pada tahun ini pengambilan pelajar USM dalam kategori pengambilan khas untuk mereka yang dianggap kumpulan “the bottom billion” ditingkatkan kepada 334 orang sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan bahawa jurang yang ada di peringkat pengajian tinggi berkenaan dengan kemampuan dapat dikurangkan di samping meningkatkan pengambilan melalui saluran alternatif iaitu warga sukan, Mahasiswa kelainan upaya dan pelajar warga asing.
Kira-kira 30,000 yang memohon untuk mengikuti pelbagai program pengajian di USM dengan program ijazah pertama sepenuh masa diisi dengan seramai 4,378 orang calon layak mengikuti pengajian di ketiga-tiga kampus USM termasuk 100 orang pelajar yang akan mengikuti pengajian Doktor Perubatan di Kampus KLE Belgaum India serta 115 orang pelajar Diploma Kejururawatan di Kampus Kesihatan USM Kelantan.
Teks: Syuhada Abdul Aziz/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1138