BERFIKIRAN POSITIF JADI PEMIMPIN MASA HADAPAN
PULAU PINANG, 2 September 2015 – Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk sentiasa berminda positif untuk menjadi pemimpin negara dengan memupuk sikap hormat-menghormati terhadap kepelbagaian yang ada.
Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan berkata demikian ketika berkongsi pengalaman beliau menerajui pelbagai jabatan kerajaan sepanjang kerjayanya kepada kira-kira 3000 orang pelajar baharu Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2015/2016 bersempena Majlis Sambutan Siswa Lestari, di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini, pagi tadi.
“Adalah penting untuk kita memiliki minda positif dalam merancang masa hadapan dan menetapkan matlamat yang diingini kita agar tahu apa yang perlu dibuat untuk mencapainya, apatah lagi untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan,” kata Zulkefli.
Beliau mengingatkan pelajar bahawa seluruh umat manusia perlu berpegang kepada nilai-nilai kebersamaan yang berbentuk universal termasuk memupuk perasaan dan sikap hormat-menghormati untuk kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.
Menurutnya lagi, menghormati kepelbagaian yang ada dengan menghormati kelainan keupayaan dan kemampuan, kelainan dan perbezaan kefahaman dan pegangan hidup, kelainan dari segi agama, bangsa dan budaya juga kelainan dan perbezaan pandangan, malahan banyak lagi kelainan lain yang seharusnya dihormati perlu dipupuk dengan sebaik mungkin.
“Sebagai seorang yang berpegang teguh kepada moto Kami Memimpin dan Memacu Kecemerlangan, para pelajar USM perlu memupuk dan menunjukkan contoh untuk diikuti sebagai seorang berilmu yang mampu menjadi role model kepada masyarakat,” jealasnya lagi.
Zulkefli turut menegaskan bahawa hormat-menghormati ini termasuklah kepada ibubapa dan keluarga dengan memenuhi harapan mereka, hormat kepada pensyarah dengan ilmu yang diberi dan dikongsi seperti yang disebut dalam agama dengan mendapat keberkatan.
“Hormatlah universiti dengan nilai-nilai ilmu yang dipegang yang dapat mendidik seseorang mahasiswa untuk membezakan di antara mereka yang berilmu dengan kurang berilmu melalui pegangan kepada fakta dan data dalam berhujah demi menjaga nama baik dan menunjukkan kesyukuran betapa bertuahnya berpeluang belajar di sini,’ katanya lagi.
Tegasnya lagi, mahasiswa perlu menghormati peraturan yang telah ditetapkan untuk kepentingan negara, masyarakat dan orang lain dalam mengekalkan kesejahteraannya, malah menghormati rakan dan teman sebilik atau serumah di mana sahaja mereka berada.
Menurutnya lagi, perasaan hormat juga menjadikan seseorang itu tidak mudah membuat stereotaip dalam membangunkan sikap dan nilai kita terhadap orang lain, membenci apatah lagi menghina dalam apa jua pun keadaan dan tindakan.
Zulkefli turut melahirkan rasa kesal terhadap segelintir masyarakat hari ini yang dengan sengaja dan secara sedar menbangunkan perasaan tidak hormat dengan provokasi yang tidak wajar malah mengheret pelbagai pihak termasuk mereka yang berilmu pengetahuan tinggi dalam hal-hal yang mengancam kesejahteraan masyarakat.
“Saya menyeru dan berharap agar saudara-saudari menggunakan sepenuhnya kesempatan semasa berada di universiti ini untuk bersama-sama universiti menyemai perasaan dan sikap saling hormat-menghormati untuk membolehkan saudara-saudari nantinya menjadi seorang pemimpin yang dapat memacu kecemerlangan negara dan meneruskan agenda kesejahteraan yang berterusan,” kata Zulkefli.
Pengerusi Lembaga Gabenor USM itu turut mengharapkan kebolehpasaran graduan USM akan terus meningkatkan yang 81% mendapat pekerjaan dalam tempoh satu hingga enam bulan setelah tamat pengajian.
“Mahasiswa perlu memanfaatkan masa sepenuhnya di kampus dengan belajar bersungguh-sungguh selain menyertai pelbagai aktiviti yang dapat menyumbang ke arah kemahiran insaniah serta menambahkan sebanyak mana mungkin ilmu di dada dan membina jaringan sebaik mungkin selain membina perwatakan diri dalam arus persaingan kini dalam sektor pekerjaan, apatah lagi dengan terdapat banyak mekanisme yang ada untuk memenuhi hasrat tersebut yang boleh digunakan dengan sewajarnya,” katanya lagi.
Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1711