“JADILAH ANAK MALAYSIA YANG TAHU BERTERIMA KASIH” KATA ZAINAL
NIBONG TEBAL, 1 September 2015 – Mahasiswa diseru agar menjadi seorang rakyat yang tahu berterima kasih dengan apa yang dinikmatinya.
Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak dalam perjumpaan dengan pelajar baharu di sini berkata, ini adalah bertepatan dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan untuk Sehati Sejiwa dalam proses pembangunan negara.
”Janganlah mensia-siakan peluang yang diberikan dan sentiasa kenangkan pengorbanan serta harapan ibubapa yang begitu tinggi terhadap kejayaan yang bakal dikecapi dengan menjadi satu bangsa yang berilmu agar nantinya menjadi alumni USM yang boleh dibanggakan,” kata Zainal Arifin kepada 673 orang pelajar baharu pelbagai bidang Kejuruteraan itu.
Zainal Arifin menyifatkan para pelajar tersebut telah membuat pilihan yang tepat dan bijak dengan memilih USM sebagai destinasi pengajian kerana universiti ini merupakan salah satu daripada lima Universiti Penyelidikan dan menjadi universiti APEX pertama serta menjadi antara universiti terbaik di dunia.
“Harapan saya dan pihak pengurusan universiti termasuk Dekan-Dekan Pusat Pengajian iaitu untuk pelajar menggunakan tempoh empat tahun di Kampus Kejuruteraan ini dengan penuh bermanfaat dan bermakna malah yakin kita mampu menjadikan kampus ini sebagai ‘top in the World by 2025’ dengan bantuan semua pihak termasuk para pelajar yang berada dalam dewan ini,” katanya lagi.
Zainal Arifin turut menasihatkan pelajar agar mewujudkan keharmonian dan interaksi yang baik dalam kalangan mereka merentasi kepelbagaian yang ada termasuk bangsa, kaum dan agama.
“Jadilah orang hebat sebagai produk USM yang boleh dibanggakan seterusnya menjadi anak Malaysia yang tahu berterima kasih serta dapat memberikan yang terbaik kepada negara” kata Zainal Arifin mengakhiri slot bersama Pengarah Kampus di sini.
Pengarah Kampus Kejuruteraan itu hadir sejak awal pagi melihat proses pendaftaran turut sempat beramah mesra dengan ahli keluarga yang mengiringi mereka di Desasiwa Jaya dan Desasiswa Lembaran.
Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin
- Created on .
- Hits: 1220