USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CINTA NEGARA MELALUI PEMAHAMAN SEJARAH

 DSC2411r

PULAU PINANG, 2 September 2015 – Perasaan cintakan negara dapat dipupuk dengan mengenali sejarah negaranya apatah lagi kita sudah 58 tahun mencapai kemerdekaan.

“Masa yang panjang ini seharusnya mampu mematangkan pemikiran dan jiwa rakyat dalam menghayati erti kemerdekaan dan cintakan negara,” kata Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar dalam satu pertemuan di pejabatnya baru-baru ini.

Ahli akademik berwibawa dan tokoh sastera bandingan yang terkenal itu berkata, merdeka bukan hanya terlepas daripada cengkaman penjajah tetapi sentiasa memupuk perasaan cintakan negara apatah lagi dengan terdapatnya sesetengah fakta tidak tepat dilontarkan oleh pelbagai pihak terhadap sejarah negara ini,” kata Md. Salleh yang kini merupakan Ombudsman Universiti Sains Malaysia (USM).

Tegasnya, merdeka bukan hanya mainan perkataan tetapi manifestasi dari makna kebebasan dari penjajahan yang bertunjangkan kepada pemimpin-pemimpin terdahulu dan pendekar yang hebat yang rela berkorban nyawa dan raga mempertahankan tanah air ini yang perlu mengiktiraf perjuangan semua pihak di negara ini.

“Perjuangan dan kesetiaan merupakan elemen penting yang memungkinkan kemerdekaan sebagai iktibar oleh generasi muda tanpa melupakan juga peranan Raja-raja Melayu semasa pengisytiharan kemerdekaan 58 tahun dahulu,” katanya lagi.

Md. Salleh turut menjelaskan tentang empat daripada tujuh wasiat Raja-raja Melayu yang diwakili oleh 11 orang sultan yang menekankan kepada Agama Islam merupakan agama rasmi negara dan agama-agama lain boleh diamalkan selain Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan negara, tanah rizab orang Melayu yang harus dipelihara dan memelihara kebajikan orang Melayu dengan mewujudkan Rejimen Askar Melayu yang keseluruhan wasiat ini yang dapat menjamin kelestarian hidup orang Melayu di Malaysia dan ketenteraman negara tanpa mengabaikan kumpulan-kumpulan lain yang ada di negara ini.

“Sambutan Hari Kemerdekaan merupakan perayaan yang wajar disambut dengan penuh hemah oleh semua rakyat Malaysia, apatah lagi slogan “Sehati Sejiwa” membawa makna yang mendalam iaitu kita perlu kembali kepada sejarah dalam memupuk semangat patriotisme dan kemerdekaan yang telah lama bersetuju dan bersatu hati menerima segala syarat kemerdekaan dalam kontrak sosial yang melibatkan para pemimpin utama dari pelbagai kaum utama duduk semeja menuntut kemerdekaan negara bersama-sama yang perlu diingati demi memelihara keharmonian dan kesejahteraan negara,” kata Md. Salleh.

Md. Salleh yang juga seorang pejuang bahasa di negara ini dan kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka yang memegang amanah besar mendaulatkan Bahasa Melayu mengharapkan agar dengan mengenali dan memahami sejarah negara mampu meletakkan pembangunan dan pembinaan negara bangsa sebagai keutamaan demi kelangsungannya pada masa hadapan.

Teks: Syuhada Abd. Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa​

  • Created on .
  • Hits: 2133

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024