USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANGUNKAN KECINTAAN KEPADA NEGARA MELALUI SEJARAH LISAN

 DSC2430hv

PULAU PINANG, 2 September 2015 – Sejarah lisan mampu menanamkan bibit kecintaan mendalam kepada negara seperti mana yang dilakukan di negara-negara maju.

Pensyarah Bahagian Sejarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM, Profesor Madya Datin Dr. Mahani Awang@Musa misalnya sangat tertarik dengan cara negara Singapura yang menarik generasi muda negaranya untuk mencintai tanah air dengan mengambil pendekatan menerangkan kepada rakyatnya tentang sejarah negara melalui sejarah lisan atau ‘oral history’ yang digerakkan melalui Pusat Sejarah Lisan Singapura bermula di peringkat sekolah rendah.

“Pemupukan pemahaman mengenai sejarah negara sejak kanak-kanak melalui lisan ini merupakan cara terbaik yang perlu dicontohi supaya sejarah-sejarah di peringkat setempat dapat difahami dengan lebih mudah,” kata Mahani.

Menurutnya lagi, mereka bukan sahaja dapat melatih kanak-kanak ini untuk memahami sejarah, tetapi dapat bercakap, bertanya soalan dan faham tentang apa yang berrlaku.

“Melalui proses ini, mereka dapat memahami dan merasai sejarah untuk cintakan tanah air mereka," tambahnya lagi.

Jelas Mahani, untuk memahami sejarah negara, kita perlu kembali kepada perkara-perkara asas dengan tidak harus mengabaikan disiplin sejarah tempatan untuk memupuk semangat mencintai negara.

“Dokumentasi dalam bentuk sejarah lisan harus terus dipelihara dan saya berharap semua pihak menggembleng usaha yang sewajarnya untuk mendidik anak-anak memahami merdeka bukan hanya pada patah perkataannya tetapi pengertian yang sebenarnya,” tegasnya lagi.

Harapannya, sejarah negara perlu terus diterokai untuk menegakkan kebenaran dengan fakta yang kukuh, malah berharap generasi muda kini menghargai erti kemerdekaan bukan hanya sebagai satu perayaan tetapi wadah penyatuan masyarakat Malaysia sesuai dengan tema kemerdekaan, Sehati Sejiwa.

“Kemerdekaan memberi makna yang cukup besar khususnya dalam pembinaan sebuah negara bangsa dalam meneruskan kelangsungannya pada masa hadapan,” katanya lagi dalam pertemuan di pejabatnya di sini.

Teks: Syuhada Abd. Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1376

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024